Nahas helikopter ragut tujuh jiwa

Nahas helikopter ragut tujuh jiwa

KATHMANDU, 8 Ogos – Sebuah helikopter terhempas ke lereng gunung di Nepal hari ini, mengorbankan kesemua tujuh orang di dalamnya termasuk seorang anak damit, kata pegawai penerbangan.

Helikopter Fishtail Air yang membawa enam penduduk tempatan ke Kathmandu, putus hubungan dengan kawalan lalu lintas udara kira-kira 30 minit selepas berlepas dari daerah barat Gorkha.

Para penyelamat telah tiba di tapak terhempas utara bandar itu di mana mereka akan membawa balik mayat-mayat berkenaan.

“Terdapat lima orang dewasa dan seorang anak damit di dalamnya, serta juruterbang,” kata Ramesh Shiwakoti dari Fishtail Air. “Tidak ada mangsa yang terselamat,” kata Shiwakoti kepada AFP.

“Tanpa siasatan lanjut, kami tidak boleh memberitahu apa punca kemalangan itu.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA