Nahas kereta api di Congo ragut 34 nyawa

KINSHASA, 13 Nov – Satu nahas membabitkan sebuah kereta api 13 gerabak di tenggara Congo pada Ahad menyebabkan sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh manakala 26 lagi ce-dera, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang gabenor wilayah.

Angka kematian mungkin meningkat memandangkan beberapa gerabak masih terbakar dan sesetengah daripadanya membawa minyak sebagai muatan, menurut Gabenor Lualaba, Richard Muyej Mangez.

Sementara itu, Radio Okapi melaporkan bahawa punca nahas belum dapat dipastikan dan dalam insiden itu, 11 gerabak milik Syarikat Keretapi Nasional Congo itu, yang dalam perjalanan dari Lubumbashi ke Luena, telah terbakar.

Mangsa yang cedera dibawa ke sebuah hospital yang terletak kira-kira 30 kilometer dari lokasi nahas, dengan sesetengah daripada mereka kehilangan anggota badan, lapor radio itu yang memetik kenyataan pegawai media hospital berkenaan. – Bernama