Nahas kereta api Iran: pegawai atasan letak jawatan

Nahas kereta api Iran: pegawai atasan letak jawatan

TEHRAN, 27 Nov – Ketua Landasan Kereta api Iran telah meletak jawatan selepas empat daripada kakitangannya telah ditangkap berikutan insiden pelanggaran antara dua buah kereta api yang mengakibatkan kira-kira 44 orang maut.

Mohsen Poor-Seyed Aghaie, seorang timbalan menteri dalam kementerian pengangkutan dan ketua syarikat landasan kereta api milik kerajaan, muncul dalam televisyen kerajaan lewat kelmarin dan mengumumkan peletakan jawatannya ‘sebagai tanggungjawab sosial dan rasa simpati kepada mangsa-mangsa bagi kemalangan itu’.

Dua kereta api berlanggar dan sebuah lagi terbakar di utara wilayah Semnan pada Jumaat, membunuh 44 orang dan mencederakan puluhan yang lain, dalam salah satu bencana kereta api paling buruk di negara itu.

Nahas itu berlaku di landasan utama antara Tehran dan bandar kedua Mashhad, Iran.

Gambar fail 25 November 2016 menunjukkan gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Iran Fars menunjukkan tempat kejadian dua kereta api yang bertembung kira-kira 250 kilometer, timur ibu negara Tehran, Iran. – AP
Gambar fail 25 November 2016 menunjukkan gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Iran Fars menunjukkan tempat kejadian dua kereta api yang bertembung kira-kira 250 kilometer, timur ibu negara Tehran, Iran. – AP

Salah sebuah kereta api telah berhenti antara bandar Semnan dan Damghan selepas mengalami kegagalan mekanikal, memaksa para pegawai untuk membatalkan kereta api lain di landasan.

Namun apabila syif baru bermula di pusat kawalan di Shahroud, kereta api kedua dibenarkan untuk meneruskan perjalanannya.

Kemalangan itu berlaku disebabkan ‘kesalahan manusia’, kata Aghaie, menjelaskan yang pegawai di pusat kawalan telah memberitahu pemandu kereta api untuk menyahaktifkan sistem automatik secara manual yang menghalangnya dari bergerak ke arah kereta api yang gagal berfungsi. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA