Nahas pesawat Rusia: Baginda Sultan utus takziah

Nahas pesawat Rusia: Baginda Sultan utus takziah

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar perutusan takziah kepada Presiden Republik Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin dan rakyat Persekutuan Rusia berikutan dengan nahas kapal terbang Rusia 7K 9268 yang terhempas di Sinai, Mesir.

Dalam titah perutusan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berasa sangat sedih mengetahui tentang kehilangan nyawa berikutan dengan tragedi tersebut. Baginda dan kerajaan serta rakyat Negara Brunei Darussalam seterusnya menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada Tuan Yang Terutama Vladimir Putin dan kerajaan serta rakyat Persekutuan Rusia terutama sekali kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut. Pada mengakhiri perutusan tersebut, Baginda menzahirkan perasaan simpati yang amat mendalam.

Pesawat malang itu, jenis Airbus A321 dikendalikan oleh Metrojet membawa 224 orang penumpang dari Sharm el-Sheikh ke St. Petersburg apabila ia terhempas sejurus berlepas di Semenanjung Sinai pada Sabtu lalu. Kesemua penumpangnya terkorban yang mana sebahagian besarnya adalah rakyat Rusia.

ARTIKEL YANG SAMA