Nahas Trigana Air, tiada terselamat

Nahas Trigana Air, tiada terselamat

JAYAPURA, Indonesia, 18 Ogos – Sebuah pesawat udara yang terhempas di timur Indonesia telah ditemui hari ini dalam keadaan ‘musnah sama sekali’ dengan mayat-mayat kesemua 54 orang yang berada di dalamnya di tengah bangkai pesawat di kawasan yang menghitam akibat terbakar, di tapak terpencil di hutan tebal.

Para penyelamat akhirnya menemui bangkai pesawat udara Trigana Air yang terhempas Ahad lalu ketika penerbangan singkat dalam keadaan cuaca buruk, selepas terpaksa meninggalkan usaha mencari sehari sebelumnya disebabkan rupa bumi pergunungan dan cuaca buruk.

“Pesawat itu telah terhempas, ia musnah sama sekali,” ketua mencari dan menyelamat Bambang Soelistyo berkata tentang ATR 42-300 selepas pasukan penyelamat sampai ke tapak itu di wilayah Papua pada pukul 9:30 pagi.

“Semuanya dalam serpihan dan sebahagian pesawat terbakar. Kami boleh melihat tanda-tanda hangus di beberapa serpihan.”

Bencana ini adalah nahas udara terbaru di Indonesia, yang mempunyai rekod keselamatan penerbangan yang teruk dan telah mengalami bencana besar dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuklah nahas pesawat udara AirAsia pada Disember dengan kehilangan 162 jiwa.

Pekerja-pekerja penyelamat kini dalam usaha bagi memindahkan mangsa-mangsa dari tempat nahas. – AFP
Pekerja-pekerja penyelamat kini dalam usaha bagi memindahkan mangsa-mangsa dari tempat nahas. – AFP

Gambar-gambar di tapak itu menunjukkan kawasan menghitam di hutan tebal yang berselerakan dengan serpihan. Pesawat twin-turboprop itu membawa 54 orang – 49 penumpang dan lima orang krew. Para pegawai berkata kesemua mayat ditemui di antara bangkai pesawat.

Sesetengah mayat tidak dalam keadaan sempurna dan yang lain hangus teruk.

Kotak hitam pesawat itu yang mengandungi perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit, juga ditemui, menurut kementerian penerbangan. Alat itu seharusnya memberi bukti tentang apakah punca nahas, yang para pegawai percaya ia mungkin disebabkan cuaca.”

Keadaan teruk bermakna pihak berkuasa merancang mengangkat mayat-mayat dari tapak dengan helikopter, menurut agensi penyelamat dan mencari.

“Cabaran adalah cuaca, ia bertukar dari baik kepada buruk dengan pantas dan sekarang cuaca sangat sejuk,” Kapten Beni Sumaryanto, pengarah perkhidmatan operasi Trigana Air memberitahu AFP.

Para pegawai berkata tidak ada berita tentang nasib 6.5 bilion rupiah yang dibawa oleh pesawat dalam wang tunai, yang dihasratkan untuk diagihkan kepada keluarga-keluarga miskin sebagai dana bantuan sosial. – AFP