Naib Presiden India akan melawat Brunei

Naib Presiden India akan melawat Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Okt – Naib Presiden India, Tuan Yang Terutama Mohammad Hamid Ansari akan mengadakan lawatan ke Brunei Darussalam pada 4 hingga 6 November ini bagi meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara.

Ini merupakan lawatan peringkat tinggi yang pertama oleh pemimpin India ke Brunei, kata Setiausaha (Timur) di Kementerian Hal Ehwal Luar India, Anil Wadhwa memberitahu pemberita di New Delhi.

Menurut beliau, sebelum ini belum ada lawatan dua hala ke Brunei di peringkat Presiden atau Perdana Menteri.

Katanya, bekas Perdana Menteri Manmohan Singh bagaimanapun pernah melawat Brunei pada tahun 2013 untuk menyertai Sidang Mesyuarat India ASEAN kali ke-11 dan Sidang Mesyuarat Asia Timur.

Menurut laporan The Times of India, semasa berada di negara ini, Tuan Yang Terutama Ansari dijadual mengadap kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

pg01_151028_b

Tuan Yang Terutama juga dijadualkan berucap di Universiti Brunei Darussalam.

Menurut Wadhwa, Brunei adalah rakan penting bagi India di ASEAN dan mengeksport minyak mentah dan produk petroleumnya ke India.

India adalah destinasi ketiga terbesar bagi eksport Brunei, menurut Wadhwa dan menambah kata bahawa jumlah perdagangan antara kedua-dua negara ialah kira-kira AS$1 bilion.

Wadhwa berkata rundingan kerjasama berhubung sektor-sektor tertentu seperti penerbangan awam, perdagangan dan pelaburan, hidrokarbon, maklumat dan perhubungan, ruang udara dan kerjasama pada forum pelbagai hala juga akan diadakan.

Sebelum ke Brunei, Tuan Yang Terutama Ansari akan berkunjung ke Indonesia mulai 1 November di mana beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo dan rakan sejawatannya, Jusuf Kalla.

Beliau juga dijangka mengadakan lawatan ke masjid bersejarah, Istiqlal di Jakarta, melawat Bali, yang mana di sana dia akan merasmikan patung Mahatama Gandhi di Universiti Uddiyana pada 3 November dan juga berucap kepada pelajar-pelajar di sana.

India dan Indonesia mempunyai hubungan rapat sejak era Perdana Menteri Jawharial Nehru dan Presiden Sukarno.

Indonesia telah menjadi rakan perdagangan kedua terbesar India di rantau ASEAN dengan jumlah perdagangan dua hala telah meningkat kepada 20 bilion dolar dalam tahun 2014-15.

ARTIKEL YANG SAMA