Naib Presiden India Tiba Di Brunei

Naib Presiden India Tiba Di Brunei

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Naib Presiden India, Tuan Yang Terutama Mohammad Hamid Ansari tiba di Brunei untuk lawatan rasmi selama tiga hari bagi meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara.

Tuan Yang Terutama sepatutnya dijadualkan melawat Brunei pada bulan November lalu, tetapi terpaksa membatalkannya pada saat-saat akhir ekoran berlaku letusan gunung berapi di Bali sehingga lapangan terbang terpaksa ditutup yang mana Tuan Yang Terutama terpaksa kembali ke India.

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa, Berakas hari ini bagi mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama petang ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan isteri, Datin Hajah Sapiah binti Haji Sabtu.

Ini merupakan lawatan peringkat tinggi yang pertama oleh seorang pemimpin India ke Brunei sejak hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara terjalin pada Mei 1984.

TYT Mohammad Hamid Ansari disambut oleh Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman dan isteri, Datin Hajah Sapiah di Lapangan Terbang Antarabangsa, Berakas semalam. – Gambar oleh Dean Kassim
TYT Mohammad Hamid Ansari disambut oleh Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman dan isteri, Datin Hajah Sapiah di Lapangan Terbang Antarabangsa, Berakas semalam. – Gambar oleh Dean Kassim

Tuan Yang Terutama mengetuai 67 orang ahli rombongan termasuk Menteri Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, TYT Haribhai Parthibhai Chaudhary, empat ahli parlimen dan para pegawai kanan kerajaan yang lain.

Semasa berada di negara ini, Tuan Yang Terutama Mohammad Hamid Ansari dijadual mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Tuan Yang Terutama juga akan mengadakan perbincangan mengenai isu kerjasama dua hala dan pelbagai hala termasuk penerbangan awam, ruang angkasa, pelaburan dan perdagangan, hidrokarbon dan maklumat dan perhubungan. Beberapa memorandum persefahaman berkaitan kerjasama pertahanan dan kesihatan juga bakal dimeterai.

Brunei merupakan salah sebuah rakan penting India dalam ASEAN selain menyumbang kepada keselamatan tenaga serta menampung lebih 10,000 warga India di sini.

Tuan Yang Terutama Mohammad Hamid Ansari juga dijadualkan menyampaikan ceramah di Bilik Senat, Universiti Brunei Darussalam dan menyampaikan ucapan kepada masyarakat India dalam satu resepsi khas nanti.

Dari Brunei, Tuan Yang Terutama akan berlepas ke Thailand pada 3 Februari di bawah jemputan Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral (B) Prayut Chan-o-Cha.

ARTIKEL YANG SAMA