Naib Presiden PKR dilarang masuk Sabah

Naib Presiden PKR dilarang masuk Sabah

KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan usul khas melarang dua Naib Presiden PKR iaitu Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua daripada memasuki negeri itu.

Usul dibentangkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah itu disokong oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan diluluskan selepas hampir dua jam dibahaskan oleh anggota dewan pada persidangan itu.

Sebanyak 47 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah menyokong usul khas di bawah Peraturan Tetap 31 (3) manakala tiga ADUN berkecuali.

Bagaimanapun, lima ADUN pembangkang iaitu daripada PKR dan DAP keluar dewan sebelum pengundian.

Ketika membentangkan usul itu, Tan mahu pihak berkuasa kerajaan mengharamkan kemasukan Nurul Izzah dan Tian Chua ke Sabah selain harus disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Sementara pihak yang mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, Jacel H. Kiram atau sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan dengan mereka diharamkan masuk ke Malaysia,” katanya.

Pada 9 Nov lepas tersebar gambar Nurul Izzah bertemu Jacel yang merupakan anak perempuan kepada bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Tan berkata tindakan Nurul Izzah, yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, bertemu Jacel yang ada kaitan dengan pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu, adalah suatu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

ARTIKEL YANG SAMA