Naik hampir 400%

Naik hampir 400%

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mac – Jabatan Perkhidmatan Pos mencatatkan peningkatan hampir 400 peratus penghantaran barang-barang mel berupa paket kecil disebabkan pertambahan dalam penghantaran barang-barang dari luar negara melalui transaksi online penduduk negara ini.

Pada tahun lalu, sebanyak 399 peratus peningkatan dicatatkan dalam jumlah 160,091 paket kecil berbanding hanya 32,103 bilangannya pada tahun 2010, Pemangku Timbalan ketua Pos Agung, Haji Bolhassan bin Haji Bulat menjelaskan pada sidang media di Bilik Latihan Tingkat 1, Pusat Memproses Mel dan Bungkusan, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengawal Pos (Teknologi Maklumat), Awang Mohamad Ali Mamin dan Penolong Ketua Pos Agung, Awang Hamir bin Mohd Salleh.

Menurut Haji Bolhassan, bagi menyahut cabaran ini dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada orang ramai, Jabatan Perkhidmatan Pos telah memperkenalkan perkhidmatan baru iaitu Perkhidmatan Acknowledgement of Receipt (AR) Listing (Perkhidmatan Penyenaraian Makluman Penerimaan).

“Perkhidmatan AR Listing ini adalah untuk senarai paket kecil yang beratnya kurang daripada 2 kilogram dari luar negara yang diterima di Jabatan Perkhidmatan Pos dan dalam proses penyerahan kepada penerima tempatan,” katanya.

Perbezaan paket kecil jenis ‘G’ dan paket kecil jenis ‘R’ dengan cap penanda hijau dan cap penanda merah.
Perbezaan paket kecil jenis ‘G’ dan paket kecil jenis ‘R’ dengan cap penanda hijau dan cap penanda merah.
Haji Bolhassan semasa menyampaikan taklimat.
Haji Bolhassan semasa menyampaikan taklimat.

Menurut beliau, perkhidmatan itu boleh diakses melalui laman web Jabatan Perkhidmatan Pos di www.post.gov.bn dan paket-paket kecil yang telah disenaraikan dikategorikan kepada dua jenis iaitu ‘G’ dan ‘R’. “Paket jenis ‘G’ merupakan paket kecil yang mempunyai cap penanda hijau yang akan dihantar terus ke alamat penerima kecuali mereka yang menggunakan alamat di bangunan-bangunan tinggi lebih daripada dua tingkat.

“Bagi mereka yang menggunakan alamat di bangunan tinggi, akan diberikan kad AR dan perlu mendapatkan paket kecil mereka di pejabat pos yang dinyatakan dalam kad itu dalam masa tiga hari selepas disenaraikan,” tambahnya.

Beliau menjelaskan Perkhidmatan AR dilaksanakan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai mengetahui kedudukan sebenar barang-barang yang dibeli dari luar negara sama ada sudah sampai atau sebaliknya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk membawa kad pintar masing-masing bagi mengesahkan identiti mereka apabila mengambil paket-paket kecil di pejabat pos.

Perkhidmatan yang baru dimulakan pada 22 Mac 2016 dalam tempoh percubaan selama sebulan dan sepanjang tempoh itu, Jabatan Perkhidmatan Pos akan melakukan penambahbaikan yang diperlukan bagi memastikan perkhidmatan ini berjalan lancar dan memastikan ia memenuhi objektifnya.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan ini, bolehlah menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan di talian 2380481 pada waktu pejabat.

ARTIKEL YANG SAMA