Naik taraf blok terusan

Naik taraf blok terusan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 5 Mei – Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd kini sedang mempertingkatkan Projek Perintis bagi mengelakkan kebakaran hutan di kawasan jalan saliran paip Lumut, dengan menaik taraf blok terusan yang menghalang saliran air.

Blok 29 telah dipasang pada tahun 2014 kira-kira 200 meter di sepanjang 14 kilometer jalan yang dipasang saliran air.

Ditemui ketika melawat tapak projek, baru-baru ini, Ketua Hal Ehwal Alam Sekitar Brunei LNG, Marie Christine Johannes memberitahu bahawa hakisan telah berlaku pada sebahagian kecil blok berkenaan, sehingga mengehadkan keupayaan bagi mengekalkan air dan penyelenggaraan dengan menambah lebih banyak tanah gambut, untuk pemadatan adalah perlu.

Beliau menyatakan, mereka juga sedang meningkatkan taraf beberapa buah blok, ekoran masalah yang sama.

Menurutnya, blok gambut pada mulanya dibina pada ketinggian kurang daripada 30 sentimeter dari jalan saliran paip untuk mengelakkan kebanjiran, dan ia akan dikekalkan.

Dr. Jonathan Davies bersama pelajar-pelajar UBD dan pekerja kontraktor di kawasan blok terusan yang diperbuat daripada gambut.
Dr. Jonathan Davies bersama pelajar-pelajar UBD dan pekerja kontraktor di kawasan blok terusan yang diperbuat daripada gambut.

Sementara itu, terusan pula telah dibina sepanjang jalan saliran paip untuk mengelakkan kebanjiran di kawasan berkenaan, tetapi baru-baru ini didapati mempunyai kesan sampingan yang tidak diingini daripada penyaliran paras air bawah tanah hutan tanah gambut di kawasan sekitar.

“Saliran paip air, adalah kunci bagi operasi Brunei LNG, sehubungan itu melindungi alam sekitar adalah penting, dan kami sedang menyokong satu kajian perintis Universiti Brunei Darussalam (UBD) untuk mengenal pasti pokok-pokok yang sesuai untuk ditanam semula di kawasan tanah gambut yang sudah rosak akibat kebakaran, dan ini merupakan langkah pertama ke arah penanaman semula,” katanya.

Sementara itu, seorang pakar dari organisasi alam sekitar global bukan kerajaan, Wetland International, Dr Jonathan Davies yang bekerjasama rapat dengan Brunei LNG dalam projek berkenaan pula berkata, projek blok gambut adalah berpatutan, dan penyelesaian mesra alam boleh digunakan lagi di tempat lain di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA