Naik taraf sistem TelBru mulai 11 Sept

Naik taraf sistem TelBru mulai 11 Sept

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Telekom Brunei Berhad (TelBru) memaklumkan bahawa, dalam usahanya untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan-pelanggan, mereka akan menjalankan proses menaik taraf sistem bermula 11 September pada jam 10:00 malam hingga 14 September jam 4:00 pagi.

Menurut kenyataan TelBru, di sini, hari ini, dalam tempoh berkenaan, sistem perkhidmatan pelanggan TelBru, aplikasi e-Bill dan e-Bill Online tidak akan berfungsi buat sementara waktu.

Oleh itu, pelanggan-pelanggan tidak akan dapat membuat pembayaran melalui aplikasi e-Bill dan e-Bill Online, menyemak baki bil, menyemak penggunaan data perkhidmatan jalur lebar serta membeli top-up bagi perkhidmatan jalur lebar

Walau bagaimanapun, pelanggan-pelanggan masih boleh membuat transaksi melalui kaunter termasuk pembayaran dan permohonan perkhidmatan di mana-mana cawangan TelBru atau melalui kaedah bayaran alternatif yang lain termasuk pejabat pos dan bank.

Akan tetapi, kesemua pembayaran dan permohonan yang dibuat dalam tempoh tersebut hanya akan diproses selepas proses menaik taraf selesai dilaksanakan.

TelBru dalam kenyataan juga mengingatkan bahawa selepas proses menaik taraf ini selesai, hanya pelanggan e-Bill sahaja yang perlu mengambil tindakan selanjutnya.

Pelanggan aplikasi e-Bill perlu memuat turun aplikasi versi baru yang akan tersedia pada masa yang akan dimaklumkan kemudian.

Di samping itu, pihak TelBru juga akan menghubungi pelanggan-pelanggan khususnya mengenai perkhidmatan e-Bill mereka.

Untuk sebarang pertanyaan, para pelanggan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan di talian 111.

ARTIKEL YANG SAMA