Najib: Barisan kabinet baharu boleh pacu kemampuan kerajaan

Najib: Barisan kabinet baharu boleh pacu kemampuan kerajaan

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata barisan Kabinet baharu perlu bertindak sebagai satu pasukan untuk memastikan kerajaan mempunyai kekuatan dan kesepaduan bagi memberi tumpuan pada pelan pembangunan untuk Malaysia dan menghadapi cabaran semasa.

Katanya beliau percaya barisan Kabinet baharu akan memacu kemampuan kerajaan untuk melaksanakan janji-janjinya yang dibuat kepada rakyat pada pilihan raya umum lepas pada 2013.

“Berikutan mandat demokratik diberikan kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2013, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan kerajaan menjayakan program transformasi Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) mempengerusikan mesyuarat pertama menteri kabinet baharu di pejabatnya hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong (kanan). – Bernama

“Tiada apa yang lebih penting daripada keperluan Malaysia dan rakyatnya – saya akan sentiasa mendahulukan kepentingan mereka daripada semua perkara lain,” katanya dalam catatan dalam Facebook beliau hari ini.

Najib menzahirkan keyakinan bahawa, lambat laun, barisan Kabinet baharu akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan Barisan Nasional menjelang pilihan raya umum ke-14, dijadualkan pada 2018.