Najib bebas tuduhan

Najib bebas tuduhan

PUTRAJAYA, Kuala Lumpur, 26 Jan – Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata hari ini, beliau akan mengarahkan agensi antirasuah menutup siasatan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas siasatan menunjukkan dana yang dimasukkan ke dalam bank peribadi beliau bukan satu bentuk rasuah atau sogokan.

Tan Sri Mohamed Apandi berkata Datuk Seri Najib memulangkan wang itu kepada keluarga diraja Arab Saudi yang mendermanya kerana wang tersebut tidak digunakan.

Beliau menambah bahawa tiada kesalahan jenayah telah dilakukan oleh Datuk Seri Najib berhubung kertas siasatan yang dikemukakan oleh agensi antirasuah.

“Saya berpuas hati dengan penemuan bahawa dana itu bukan satu bentuk rasuah atau sogokan,” kata Tan Sri Mohamed Apandi.

“Tidak ada sebab yang diberi mengapa derma tersebut dibuat kepada PM Najib, yang merupakan antara beliau dan Arab Saudi.”

Tan Sri Mohamed Apandi Ali menunjukkan carta aliran wang SRC International pada sidang media mengenai kes syarikat itu dan kes melibatkan dana RM2.6 bilion di Jabatan Peguam Negara kelmarin. – Bernama
Tan Sri Mohamed Apandi Ali menunjukkan carta aliran wang SRC International pada sidang media mengenai kes syarikat itu dan kes melibatkan dana RM2.6 bilion di Jabatan Peguam Negara kelmarin. – Bernama

Berikutan itu, katanya, ketiga-tiga kertas siasatan berkaitan akan dikembalikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk ditutup.

Tan Sri Mohamed Apandi berkata demikian dalam satu sidang media yang tidak dijadualkan bagi membincangkan siasatan ke atas SRC International, bekas anak syarikat firma pelaburan kerajaan yang dilanda hutang besar, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan pemindahan wang sebanyak RM2.6 bilion (AS$869 juta) ke dalam akaun bank Datuk Seri Najib.

Agensi antirasuah berkata ia telah menghantar dua laporan mengenai siasatan tersebut ke pejabat Peguam Negara pada 31 Disember lalu.

Beliau berkata keterangan saksi dan dokumen sokongan yang dikemukakan SPRM menunjukkan dana yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri di antara 23 Mac 2013 dan 10 April 2013 berjumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion) adalah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Apandi berkata pihak SPRM sendiri dalam siasatan menemui dan merakamkan percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumbangan dana tersebut yang mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada perdana menteri secara peribadi.

“Keterangan daripada siasatan tidak menunjukkan sumbangan dana tersebut diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau sebagai perdana menteri,” katanya.

Apandi berkata perdana menteri mengembalikan semula wang sejumlah AS$620 juta (RM2.03 bilion) kepada keluarga diraja Arab Saudi dalam bulan Ogos 2013 kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

“Berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan, saya berpuas hati bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut,” katanya.

Berhubung perkara itu juga, Apandi berkata tiada keperluan bagi Malaysia membuat permintaan bantuan bersama dalam perkara jenayah kepada negara asing untuk melengkapkan siasatan memandangkan tidak terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion itu.

Berhubung dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International, Apandi berkata tiada terzahir apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

Apandi berkata daripada keseluruhan keterangan yang melibatkan keputusan atau tindakan, tidak menggambarkan apa-apa konflik kepentingan oleh perdana menteri.

“Pihak SPRM sendiri mengakui bahawa berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi-saksi yang boleh menunjukkan bahawa perdana menteri melakukan sebarang perbuatan rasuah,” katanya.

Mengenai Kanun Keseksaan, Apandi berkata tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa perdana menteri mengetahui “dan/atau” dimaklumkan terdapat kemasukan wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau.

Beliau berkata tiada juga keterangan menunjukkan bahawa perdana menteri memberi apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau.

“Keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa yang material, perdana menteri mempercayai segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan menggunakan wang sumbangan keluarga diraja Arab Saudi yang dipindahkan ke dalam akaun-akaun beliau sebelum itu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan SPRM, Apandi berkata suruhanjaya itu melaksanakan siasatan menyeluruh sungguhpun jumlah fail yang terlibat “menyamai ketinggian beliau.”

“Di pihak kami, saya dan pasukan saya juga melakukan penelitian menyeluruh ke atas kertas siasatan. Kami meneliti analisis forensik kesemua keterangan membabitkan angka dan nama.

“Kami malah bertungkus lumus berminggu-minggu untuk meneliti dan merangka carta aliran wang untuk kami memahami sepenuhnya apa yang berlaku dan keseluruhan episod. Ia bukanlah tugas yang mudah dan pasukan saya mengambil sedikit masa untuk menganalisis kesemua ini,” katanya, sambil mengangkat carta aliran wang itu, sekaligus menarik perhatian kumpulan jurugambar yang pantas merakamkan gambarnya. – Bernama