Najib bukan antara tertuduh siasatan 1MDB

Najib bukan antara tertuduh siasatan 1MDB

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland menjelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan antara individu yang dituduh melakukan kesalahan dalam siasatan terhadap dakwaan kononnya berlaku penyelewengan dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Dalam prosiding jenayah oleh pejabat Peguam Negara ketika ini, Najib bukan merupakan antara pegawai awam yang dituduh,” kata jurucakap OAG, Andre Marty, yang dipetik berkata demikian oleh Nikkei Asian Review.

OAG memulakan prosiding jenayah pada Ogos lepas terhadap dua bekas pegawai 1MDB dan ‘individu tidak dikenali’ berkaitan dengan dakwaan kononnya disyaki sebanyak AS$4 bilion telah diselewengkan.

Dalam meneruskan siasatan itu, OAG menegaskan Najib bukan suspek.

Minggu lepas, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada apa-apa kesalahan berkaitan siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan RM2.6 bilion yang didakwa telah didepositkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri.

Mohamed Apandi berkata siasatan mendapati amaun yang didepositkan adalah sebanyak RM2.08 bilion, dan ia merupakan sumbangan peribadi daripada kerabat diraja Arab Saudi pada 2013, dan sebanyak RM2.03 bilion daripada amaun itu telah dikembalikan semula kepada penyumbang pada tahun yang sama.

Sementara itu, 1MDB dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya tidak dihubungi oleh mana-mana pihak berkuasa undang-undang negara asing mengenai apa-apa perkara berkaitan syarikat itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA