Najib harap bawa keramat

Najib harap bawa keramat

LUBOK ANTU, 5 Mei (Bernama) – Datuk Seri Najib Tun Razak berharap lawatan beliau ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili hari ini akan membawa tuah dan mengulangi kemenangan Barisan Nasional di kawasan itu dalam pilihan raya negeri ini nanti. Katanya sebelum ini beliau pernah membuat lawatan ke kawasan ini dua hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 yang diadakan pada 2011.

“Hari ini secara kebetulan saya datang sekali lagi dua hari sebelum pengundian dan saya berharap ini akan menjadi tanda keramat bahawa calon Barisan Nasional (untuk N33 Engkilili), saudara Dr Johnichal Rayong (Ngipa) akan menang dengan majoriti besar kali ini,” kata perdana menteri ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Rumah Panjang Christopher Ningkan di Pais, Skrang di sini.

Untuk pilihan raya kali ini, Dr Johnichal Rayong ditentang calon PKR Nicholas Bawin Anggat dan dua calon bebas, Adan Sandom dan Ridi Bauk.

Datuk Seri Najib Tun Razak diberi sambutan meriah oleh penghuni rumah panjang pada majlis pemimpin bersama rakyat setibanya di Rh Christopher Ningkan, Pais Skrang DUN N33 Engkilili Kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak diberi sambutan meriah oleh penghuni rumah panjang pada majlis pemimpin bersama rakyat setibanya di Rh Christopher Ningkan, Pais Skrang DUN N33 Engkilili Kelmarin. – Bernama

Dalam pilihan raya negeri tahun 2011, beliau memenangi kerusi kawasan itu dengan majoriti 3,807 undi. Najib berkata sebelum beliau, ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein juga pernah melawat kawasan Engkilili semasa menjadi Perdana Menteri. Katanya keprihatinan ayahandanya dan keinginan beliau (Najib) sendiri untuk memberi perhatian khusus kepada Sarawak membuktikan perjuangan panjang yang telah dilalui Barisan Nasional untuk memperjuangkan nasib rakyat.