Najib jamin keseimbangan

Najib jamin keseimbangan

KUCHING, 4 Jun (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan tahap pembangunan di Sarawak adalah seimbang dengan pembangunan yang dikecapi oleh penduduk di Semenanjung.

“Ia akan mengambil masa, dan belanja yang besar, tapi kalau kita urus negara kita dengan baik, kita akan dapat hasil tambahan, yang akan kita agihkan secara seimbang.

“Mana-mana wilayah yang ketinggalan, maka wilayah itu patut diberi peruntukan lebih. Mana-mana kawasan luar bandar yang kurang maju, maka kawasan itu akan dapat peruntukan lebih,” katanya semasa berucap di majlis makan malam Perayaan Gawai Dayak 2015 peringkat negeri di Dewan DBNA di sini.

Di peringkat negeri, Perayaan Gawai dianjur secara bergilir-gilir di kalangan tiga kaum utama Dayak, dan tahun ini menyaksikan giliran masyarakat Bidayuh menganjurkannya.

Majlis malam ini turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, timbalannya Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong dan Kabinet negeri Sarawak. Perdana menteri seterusnya menegaskan komitmen beliau untuk membantu Sarawak agar berjaya dalam Malaysia kerana beliau sedar dengan potensi besar yang dimilikinya, dan beliau juga menganggap Sarawak sebagai simpanan tetap kepada kerajaan Barisan Nasional, yang perlu terus dibantu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat tangan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem selepas menerima skrol lafaz ikrar taat setia kepimpinan pada majlis pemimpin bersama rakyat di Stadium Perpaduan Sarawak hari ini. Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor (kanan) dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu. – Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat tangan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem selepas menerima skrol lafaz ikrar taat setia kepimpinan pada majlis pemimpin bersama rakyat di Stadium Perpaduan Sarawak hari ini. Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor (kanan) dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu. – Bernama

Najib seterusnya menyuarakan rasa kagum dengan persekitaran Sarawak yang begitu aman, stabil dan harmoni walaupun memiliki kira-kira 27 kumpulan etnik, serta menganggap Bumi Kenyalang itu seharusnya menjadi model kepada negeri lain.

Beliau turut menyuarakan penghargaan kepada Adenan dan seluruh Sarawak yang menurutnya begitu setia kepada kerajaan.

“Saya sangat berbangga dengan pencapaian Sarawak, tambahan pula kalian semua sentiasa bersyukur dan berterima kasih. Saya tahu kalian akan terus menyokong Malaysia, dan saya berterima kasih kepada ketua menteri yang menzahirkan sokongan padu dan ikhlas beliau tanpa sebarang syarat,” katanya.

Perdana menteri dan isteri yang tiba di sini petang ini dijadual menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Perpaduan di sini pagi esok.