Najib kunjungi pameran kenangan ayahanda beliau di Kuching

Najib kunjungi pameran kenangan ayahanda beliau di Kuching

KUCHING, 3 April (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan pameran khas bagi mengenang ayahanda beliau Tun Abdul Razak Hussein di pusat beli-belah The Spring di sini hari ini.

Beliau yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Ghani dan Menteri Pembangunan Sosial Negeri, Tan Sri William Mawan Ikom meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau galeri pameran yang terletak di tingkat bawah.

Pameran memperlihatkan sesetengah detik bersejarah Tun Razak ketika melawat Sarawak sekitar tahun 70-an.

Ia anjuran Jabatan Muzium Sarawak dan Yayasan Cemerlang yang bermula hari ini hingga 3 Mei.

Para pengunjung kelihatan berjabat tangan dan mengambil gambar Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sempena kunjungan itu, Mawan turut menyampaikan kepada Najib gambar hitam putih yang menunjukkan ayahanda beliau bermain golf.