Najib lancar Festival Makanan Malaysia di Milan

Najib lancar Festival Makanan Malaysia di Milan

MILAN, Itali, 4 Okt (Bernama) – “Roti canai terbang” oleh Cef Asmawi Rozli atau lebih dikenali Mawi menarik perhatian para tetamu pada Festival Makanan Malaysia yang diadakan di Malaysian Pavillion di Expo Milano 2015 dengan kemahirannya memusingkan makanan kegemaran rakyat Malaysia itu di udara.

Mawi menunjukkan kepada para penonton cara membuat roti canai bermula dari menguli hingga menebarnya di udara sambil menari sehingga mendapat tepukan gemuruh para tetamu.

Roti canai merupakan antara hidangan Malaysia yang dihidangkan kepada para tetamu asing pada Festival Makanan Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, malam tadi.

Para tetamu turut dijamu dengan makanan terkenal Malaysia yang lain seperti sate, rendang daging, asam laksa, dim sum, karipap, goreng pisang, cucur udang dan bubur pulut hitam dan pengat pisang serta teh tarik.

Selain makanan para tetamu dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Malaysia oleh para penari Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara.

Turut hadir ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.