Najib lancar pelan pembangunan Industri Biomas

Najib lancar pelan pembangunan Industri Biomas

PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Pelan Pembangunan Industri Biomas Sabah dan Sarawak yang disifatkannya sebagai pencapaian penting dalam usaha Malaysia menjadi hab pemprosesan utama bahan berkenaan.

Malah, katanya, andai digabungkan, sumbangan biomas oleh kedua-dua negeri itu mewakili lebih 50 peratus sumber biomas di Malaysia.

“Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting bagi membolehkan negara menjadi hab pemprosesan utama biomas di Asia Tenggara.

“Jika kita dapat menukar sumber biomas berkenaan kepada produk bernilai tinggi seperti biokimia dan bahan api bio, ini akan membuka jalan bagi mempertingkatkan lagi usaha pemprosesan produk hiliran kepada bahan seperti bioplastik,” katanya pada pelancaran pelan berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman serta Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Sarawak Datuk Len Talif Salleh bagi pihak Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Perdana Menteri Malaysia bergambar ramai bersama wakil-wakil yang terlibat selepas melancarkan pelan pembangunan tersebut. – Bernama
Perdana Menteri Malaysia bergambar ramai bersama wakil-wakil yang terlibat selepas melancarkan pelan pembangunan tersebut. – Bernama

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata pelan pembangunan biomas di peringkat negeri itu, adalah hasil kolaborasi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi menjana peluang biomas khusus yang sememangnya unik kepada negeri berkenaan.

“Kedua-dua Kerajaan Negeri ini mengamalkan wawasan yang progresif dan melaksanakan langkah konkrit bagi memaksimumkan potensi biomas masing-masing supaya industri itu mewujudkan ekosistem serta rantaian nilai biomas serantau yang berdaya saing,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta Agensi Inovasi Malaysia (AIM) juga akan menubuhkan satu pasukan petugas di peringkat tempatan bagi pelaksanaan pelan tindakan biomas masing-masing.

Di bawah pelan itu, katanya, Sabah dapat menyumbang tambahan RM3.2 bilion bagi Pendapatan Negara Kasar (PNK), RM13.5 bilion dalam bentuk peluang pelaburan baharu dan sejumlah 25,000 pekerjaan baharu yang memanfaatkan 4.8 juta tan kering makanan ternakan biomas daripada sektor minyak sawit.