Najib lawat kawasan terjejas gempa

Najib lawat kawasan terjejas gempa

RANAU, 9 Jun (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluangkan masa melawat anggota keluarga polis yang terpaksa tidur di dalam khemah selepas berlaku retakan kuarters yang mereka huni di Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau akibat gempa bumi Jumaat lepas.

Najib yang diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meluangkan masa 30 minit melihat sendiri keretakan di bahagian bawah satu daripada kuarters yang mengalami keretakan itu.

Beliau kemudian berjumpa dengan beberapa anggota keluarga polis yang tinggal di dalam khemah sebelum meneruskan lawatan beliau ke Taman Kinabalu di Kundasang bagi mendengar taklimat bencana dan penyerahan bantuan kepada mangsa dan waris gempa bumi.

Terdapat enam kuarters anggota polis di sini dan tiga daripadanya mengalami kesan retakan teruk akibat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter pada Jumaat lepas yang melanda Ranau dan beberapa daerah lain.

Berikutan itu ada antara keluarga polis itu tidak yakin keselamatan mereka untuk tidur di rumah pada waktu malam.

Terdapat 30 keluarga mengambil keputusan untuk tidur di dalam khemah yang didirikan di kawasan lapang berhampiran kuarters tersebut.