Najib naik kereta api laju Shinkansen

Najib naik kereta api laju Shinkansen

TOKYO, 26 Mei (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasai sendiri pengalaman menaiki Shinkansen, kereta api laju terkemuka Jepun, yang memecut dengan kelajuan 320km sejam.

Diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Najib menaiki kereta api Hayabusa 15 Shinkansen itu pada pukul 10.40 pagi (9.40 waktu Malaysia) untuk ke bandar raya Sendai kira-kira 325km dari sini. Perjalanan itu mengambil masa 96 minit, berbanding lebih empat jam melalui jalan raya.

Turut serta ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dan Duta Malaysia di Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris.

Terdahulu, Najib dan delegasi Malaysia diberikan taklimat mengenai perkhidmatan kereta api Shinkansen dan pembangunan di sekitar Stesen Tokyo oleh para pegawai syarikat kereta api East Japan Railway Company, yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Tetsuro Tomita.

Tetsuro memberitahu perdana menteri bahawa kereta api yang dinaikinya ke Sendai menggunakan teknologi terkini.

Datuk Seri Najib (kanan) dan isteri Datin Seri Rosmah bergambar sebelum menaiki kereta api laju Shinkansen untuk perjalanan dari Tokyo ke Sendai bagi menghadiri perjumpaan bersama-sama pelajar di sebuah universiti semalam. – Bernama
Datuk Seri Najib (kanan) dan isteri Datin Seri Rosmah bergambar sebelum menaiki kereta api laju Shinkansen untuk perjalanan dari Tokyo ke Sendai bagi menghadiri perjumpaan bersama-sama pelajar di sebuah universiti semalam. – Bernama

“Ini adalah kereta api terbaharu dengan teknologi terkini, dengan kelajuan 320km sejam…ini merupakan kelajuan biasa operasi dan selamat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata negara ini mahu melihat teknologi Shinkansen digunakan dalam perancangan projek kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura.

“Saya berharap dapat melihat Shinkansen merentasi landasan di bumi Malaysia,” katanya pada sidang akhbar bersama Najib selepas mesyuarat dua hala mereka di Pejabat Perdana Menteri Jepun itu.

Dalam jawapan balasnya, Najib berkata beliau percaya Jepun akan mengemukakan tawaran yang amat kompetitif bila tiba masanya nanti. Diperkenalkan pada 1964, perkhidmatan Shinkansen kini meliputi 2,400 kilometer dan merentasi keseluruhan Jepun.

ARTIKEL YANG SAMA