Najib prihatin isu rakyat Sarawak, Sabah

Najib prihatin isu rakyat Sarawak, Sabah

KOTA SAMARAHAN, 26 Sept – Rakyat Sarawak dan Sabah seharusnya berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana begitu prihatin terhadap isu mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

Berikutan itu, katanya kerajaan Persekutuan pimpinan Najib bersedia meneliti permohonan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri Sarawak dan Sabah.

Beliau berkata pelantikan 20 anak kelahiran Sarawak sebagai Pengerusi Lembaga Temu Duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) Negeri Sarawak hari ini adalah bukti keprihatinan Perdana Menteri terhadap niat dan isu rakyat kedua-dua negeri berkenaan.

Entulu berkata demikian ketika berucap sebelum menyampaikan watikah pelantikan kepada 20 pengerusi Lembaga Temu Duga SPP Negeri Sarawak itu di Institut Tadbir Negara (Intan) Kampus Wilayah Sarawak di sini, hari ini.

Katanya beliau berharap penurunan kuasa itu akan membuahkan hasil terbaik menjelang 2018 dan seterusnya di mana lebih 90 peratus tenaga guru di Sarawak kelak akan terdiri daripada kalangan anak Sarawak.

“Saya juga mengharapkan dengan tenaga pengajar yang terdiri daripada orang tempatan, pelajar-pelajar kita akan mencapai keputusan yang lebih baik dalam Bahasa Inggeris dan Sains berbanding pencapaian kita sekarang,” katanya. – Bernama