Najib, Rosmah menghadap Maharaja, Maharani Jepun

Najib, Rosmah menghadap Maharaja, Maharani Jepun

TOKYO, 25 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini menghadap Maharaja Akihito dan Maharani Michiko di Imperial Palace di sini.

Najib dan isteri tiba di Imperial Palace pada 10.15 waktu tempatan (9.15 waktu Malaysia) dan disambut ketua istiadat Imperial Palace Yoshitaka Akimoto.

Mereka diiringi Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris.

Perdana Menteri dan isteri kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Jepun atas undangan rakan sejawatan Shinzo Abe.

Datuk Seri Najib (kiri) dan Datin Seri Rosmah menghadap Maharaja Akihito dan Maharani Michiko di Imperial Palace di Tokyo, Jepun. – Bernama
Datuk Seri Najib (kiri) dan Datin Seri Rosmah menghadap Maharaja Akihito dan Maharani Michiko di Imperial Palace di Tokyo, Jepun. – Bernama

Pada sebelah petang, Najib akan menghadiri mesyuarat meja bulat dengan 34 pemimpin industri, di mana beliau dijangka mempelawa ahli perniagaan Jepun untuk terus melabur di Malaysia dan mengambil peluang daripada persekitaran ekonomi negara yang pelbagai dan kondusif untuk mengembangkan perniagaan.

Pada sebelah malam, Najib akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Abe sebelum menghadiri majlis jamuan rasmi di kediaman perdana menteri di Chiyodaku.