Najib saman Tun Dr. Ling

Najib saman Tun Dr. Ling

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memfailkan saman terhadap bekas presiden MCA Tun Dr. Ling Liong Sik berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuat ke atasnya.

Saman berkenaan difailkan pada 27 Oktober lepas melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib antara lain memohon perintah supaya Dr. Ling Liong Sik menyiarkan kenyataan mohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan oleh plaintif (Najib).

Najib juga memohon injunksi untuk menghalang Dr. Ling, atau melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.

Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Tun Dr. Ling Liong Sik berdepan saman daripada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuatnya sebelum ini.
Tun Dr. Ling Liong Sik berdepan saman daripada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuatnya sebelum ini.

Najib berkata Dr. Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di sini, yang disiarkan dalam portal berita pada 3 Oktober menerusi satu artikel.

Perdana menteri mendakwa bahawa defendan telah menuturkan perkataan-perkataan berbaur fitnah dengan berniat jahat supaya plaintif berada dalam kancah skandal, dipandang hina dan kebencian.

Najib berkata mengikut pengertian nyata dan biasa, perkataan-perkataan yang diterbitkan dalam artikel itu difahamkan membawa maksud, antara lain, beliau telah menggelap dana awam ke dalam akaun peribadi beliau, dan bahawa beliau telah menyalah guna dana itu untuk kepentingan peribadi, dan beliau telah menyalah guna dana itu untuk meraih kekayaan dan keuntungan untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

Najib juga berkata, pengertian nyata dan biasa perkataan-perkataan yang disiarkan dalam artikel itu difahamkan bermaksud, antara lain, bahawa beliau telah menyalah guna dana kerajaan milik sebuah syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kepentingan peribadi, beliau telah menyalah guna kuasanya sebagai pemimpin sebuah parti politik dan pemimpin masyarakat, dan beliau tidak kompeten atau layak menjadi ketua kerajaan atau pun perdana menteri Malaysia.

“Reputasi plaintif telah tercemar dengan teruk berikutan penerbitan perkataan-perkataan berbaur fitnah dan menyebabkan penghinaan kepada plaintif dalam media sosial dan media massa kerana artikel berbaur fitnah itu telah dikongsi secara meluas oleh media sosial dan pengguna media massa secara keseluruhannya,” kata kenyataan tuntutan itu.