Najib: Saya akan tadbir negara sebaik dan seadil mungkin

Najib: Saya akan tadbir negara sebaik dan seadil mungkin

SANTUBONG, 1 Mei (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan mentadbir negara dengan sebaik dan seadil mungkin agar Malaysia di bawah pimpinan beliau mencapai tahap kemajuan kejayaan yang diimpikan seperti mana tuntutan Islam.

Beliau berkata sebagai pemimpin yang dipilih rakyat pula, kerajaan dibawah pimpinan beliau akan menjalankan amanah yang diberi dan lebih daripada itu, menunaikan tanggungjawab terhadap Allah sebagai pemimpin.

“Kalau nak maju pada tahun 2020 pula, kita perlu rakyat dan umat Islam yang unggul, cemerlang dan hebat. Negara tidak akan menjadi maju hanya dari segi fizikal saja dengan hanya memiliki bangunan, jalan raya dan kemudahan asas tanpa mempunyai rakyat yang mempunyai kekuatan sepertimana dituntut Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanat selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurir Rahmani, Kampung Santubong, dan seterusnya merasmikan masjid bernilai RM3 juta itu, hari ini.

Terdahulu Najib bersama kira-kira 1,000 orang jemaah hadir menunaikansolatJumaat dan mendengar khutbah bertajuk ‘Etika dan Integriti Asas Jati DiriPekerja’ yang disampaikan Penolong Imam Besar Negeri Sarawak Mohammad Ihsan Haidzir.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menanam pokok pada majlis perasmian Masjid Nurir Rahmani Kampung Santubong dalam rangka lawatannya di sini hari ini. – Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menanam pokok pada majlis perasmian Masjid Nurir Rahmani Kampung Santubong dalam rangka lawatannya di sini hari ini. – Bernama

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Anggota Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Mengulas lanjut, Najib berharap khutbah Jumaat yang disampaikan khatib dijadikan panduan bagaimana untuk menjadi umat Islam yang unggul,cemerlang dan hebat.

“Sebahagian daripada gambaran tersebut telah pun dilakar oleh khatib dalam khutbah tadi. Umat Islam yang menjadi khalifah di muka bumi, baik dari segi akhlaknya kuat dari segi imannya, jalankan kerja-kerja seharian dengan penuh etika dan intregriti,” katanya.

Najib berkata ajaran Islam luas dan terbuka serta sesuai pada setiap zaman dan segalanya mestilah berpaksikan kepada pengukuhan perpaduan.