Najib sedia beri keterangan dana RM2.6 bilion

Najib sedia beri keterangan dana RM2.6 bilion

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berhubung kes sumbangan dana politik berjumlah RM2.6 bilion.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah memaklumkan bahawa beliau diminta memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes berkenaan.

“Saya akan berbuat demikian dan memberi kenyataan kepada SPRM dalam masa terdekat berhubung sumbangan dana politik tersebut.

“Saya akan memberi kerjasama dan keterangan kepada SPRM agar siasatan ini dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Katanya sememangnya menjadi hasrat beliau untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes itu memandangkan ia telah menimbulkan pelbagai tuduhan dan fitnah.

Perdana Menteri Malaysia bersedia untuk memberikan keterangan mengenai dana RM2.6 bilion kepada SPRM. - Reuters
Perdana Menteri Malaysia bersedia untuk memberikan keterangan mengenai dana RM2.6 bilion kepada SPRM. – Reuters

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed di Johor Baharu, hari ini berkata perdana menteri telah bersetuju untuk diambil keterangan mengenai dana politik itu, dan sedang menunggu tarikh untuk menemu bual perdana menteri.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM)), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Jabatan Perdana Menteri akan menjawab semua soalan yang dibangkitkan berhubung dakwaan RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri pada persidangan Dewan Rakyat pada 3 Dis depan.

Azalina dilapor berkata adalah lebih baik untuk mengumpul semua soalan mengenai perkara itu dan menjawabnya pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat kali ini.

Sama ada Najib atau menteri di JPM akan menjawab, ianya adalah prerogatif perdana menteri, katanya.