Najib sifatkan konsep PPR Kota Belud sebagai ‘ke hadapan, progresif’

Najib sifatkan konsep PPR Kota Belud sebagai ‘ke hadapan, progresif’

KOTA BELUD, 10 Mei (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Belud sebagai “ke hadapan dan progresif”. Katanya, projek bernilai RM160 juta yang akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan di tanah seluas 32.2 hektar itu mewujudkan konsep kehidupan serba lengkap.

“Saya amat tertarik dengan konsep pembangunan PPR Kota Belud ini kerana menggunakan konsep yang membawa kepada kesejahteraan dan kualiti hidupyang lebih baik daripada PPR yang lain.

“Ia (projek) merangkumi pembinaan, umpamanya, bazar rakyat, terminal bas, kemudahan riadah, tadika, masjid, dan sebagainya … bukan sahaja membina rumahuntuk dimiliki oleh rakyat, tetapi juga membina sebuah komuniti baharu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek itu di sini hari ini.

Katanya sehingga November tahun lepas, sebanyak 95,000 unit rumah mampu milik telah siap dibina, sebanyak 42,857 unit sedang dalam pembinaan dan 200,000 unit lagi dalam perancangan.

Terdahulu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kementeriannya telah memilih Kota Belud sebagai lokasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sekali gus status pekan daerah ini bakal dinaiktarafkan menjadi bandar menerusi beberapa transformasi.