Najib yakin Jepun akan bida projek kereta api laju

Najib yakin Jepun akan bida projek kereta api laju

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya Jepun akan mengemukakan bidaan yang kompetitif bagi projek kereta api laju sepanjang 300 kilometer yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

“Teknologi kereta api dan kereta api laju Shinkansen Jepun sangat kompetitif. Saya percaya syarikat-syarikat Jepun boleh mengemukakan bidaan yang kompetitif,” kata beliau.

Najib, yang melakukan lawatan rasmi ke Jepun mengalu-alukan usaha negara itu untuk projek berkenaan semasa temu bual eksklusif dengan Nikkei Asian Review.

Cadangan projek yang dikemukakan pada 2013 itu, bakal mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit berbanding kira-kira lima jam melalui jalan raya, tujuh jam dengan kereta api dan sejam dengan kapal terbang.

Kedua-dua negara kini dalam usaha untuk memuktamadkan kajian kemungkinan projek, yang dianggarkan bernilai RM40 bilion.

Selain Jepun, negara-negara lain yang telah menyatakan minat terhadap projek itu ialah China, Korea Selatan, Perancis, Jerman, Britain dan Sepanyol.

Najib, yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa pembiayaan, teknologi sistem operasi dan gerabak akan menjadi faktor utama dalam menentukan siapa yang memenangi projek.

Syarikat membida, juga perlu memasukkan bantuan pembiayaan jangka panjang, serta keupayaan teknologi untuk membina dan mengendalikan rel.

Bagi pelaburan, Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus menarik pelaburan ‘berimpak tinggi’ daripada syarikat-syarikat Jepun dan negara lain dengan memberikan pelbagai insentif.

Insentif khususnya, akan disesuaikan bagi syarikat-syarikat yang melabur dalam projek-projek automasi dan berteknologi tinggi yang mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di zon pembangunan ekonomi yang ditetapkan di Malaysia.

Malaysia juga menyokong janji Jepun untuk menawarkan AS$110 bilion untuk membiayai projek-projek infrastruktur di Asia dalam tempoh lima tahun akan datang, kerana ia akan mengekalkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi tempatan.

Mengenai pertikaian wilayah di Laut China Selatan, laporan itu menyebut Najib mengatakan bahawa ASEAN akan mengadakan ‘perbincangan’ dengan China untuk menyelesaikan isu itu secara aman.

ARTIKEL YANG SAMA