Najip i-Team benam Tabuan Muda 2-0

Najip i-Team benam Tabuan Muda 2-0

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Dua kesilapan besar pertahanan Tabuan Muda dalam tempoh empat minit menghadiahkan Najip i-Team dua gol dan tiga mata, sekali gus membantu melonjakkan Najip i-Team ke tangga kedua Liga Super DST 2015 memintas Indera SC.

Dalam aksi Minggu Kelima di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, perlawanan berlangsung seimbang sehinggakan separuh masa pertama berkesudahan tanpa jaringan.

Separuh masa kedua turut menyaksikan kedua-dua pasukan lebih banyak bersaing bola di tengah padang daripada sepertiga akhir padang yang membuatkan kedua-dua penjaga gol kedua-dua pasukan hanya lebih banyak beraksi melakukan sepakan gol.

Namun pada minit ke-60 kecuaian pemain pertahanan kiri Tabuan Muda menghadiahkan bola kepada Haziman bin Haji Abdul Halim di sayap kanan untuknya mudah melorong bola kepada Muhammad Nabil bin Talipudin di tengah petak.

Aksi Liga Super DST 2015 antara Najip i-Team (merah) dengan Tabuan Muda yang dimenangi Najip i-Team dengan jaringan 2-0.
Aksi Liga Super DST 2015 antara Najip i-Team (merah) dengan Tabuan Muda yang dimenangi Najip i-Team dengan jaringan 2-0.

Dia tidak menyia-nyiakan peluang terhidang dengan terus meledakkan sepakan kencang ke atap gawang lawan tatkala penjaga gol lawan, Haime Anak Nyaring sudah terbaring akibat tergelincir kerana tersalah langkah.

Muhammad Nabil tidak menduga sama sekali apabila tiga minit kemudian bola lambung daripada rakannya di kawasan sendiri gagal dikawal pertahanan Tabuan Muda yang menyangkakan Muhammad Nabil dalam posisi ofsaid sekali gus membolehkan Muhammad Nabil berlari menuju gawang Tabuan Muda tanpa cabaran dan menendang kencang bola melepasi Haime yang meluru kepadanya.

Lima minit sebelum perlawanan berakhir Tabuan Muda sepatutnya berjaya menjaringkan gol tetapi Mohd Aman bin Haji Abdul Rahim yang hanya berdepan dengan Fardillah bin Haji Mohd Ali terlalu gopoh sehingga menendang bola hanya sedikit ke kanan Fardillah sekali gus memudahkan Fardillah menolak bola ke kanan menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Dengan tambahan tiga mata yang diperolehi petang ini, Najip i-Team kini mengumpul 30 mata selepas mengharungi 14 permainan, dua mata di depan Indera SC yang baru bermain 12 kali dan hanya akan turun beraksi bagi perlawanan ke-13nya esok malam (Isnin, 12 Oktober) menentang MS PDB di Kompleks Sukan Tutong (KST).

Tabuan Muda pula terus kekal menghuni tangga kelima dengan 21 mata dari 14 permainan, masih ketinggalan tiga mata di belakang Wijaya FC di tangga keempat, yang perlawanannya dengan Kilanas FC malam tadi di KST telah ditangguhkan akibat bahaya cuaca hujan yang diiringi kilat sabung-menyabung.

MS ABDB terus selesa menerajui Liga Super DST 2015 dengan catatan 39 mata dari 14 permainan selepas turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas IKLS FC pada Jumaat, 9 Oktober baru-baru ini.

ARTIKEL YANG SAMA