Najip i-Team menang tipis

Najip i-Team menang tipis

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 27 Sept – Najip i-Team mengekori rapat Indera SC dengan hanya satu mata memisahkan kedua-dua pasukan di tangga ketiga dan kedua berkenaan apabila melakukan yang cukup untuk menang tipis 1-0 ke atas MS PDB.

Jaringan tunggal perlawanan di Kompleks Sukan Tutong dan kemenangan untuk Najip i-Team itu hadir pada minit ke-33 yang dijaringkan oleh Mohammad Hanafizal Helman bin Hanafiah.

Dengan tambahan tiga mata yang diperolehinya, Najip i-Team kini mengumpul 27 mata dari 13 perlawanan, satu perlawanan lebih daripada Indera SC yang berada di atasnya dengan catatan 28 mata.

MS PDB pula kekal di tangga ketujuh dengan kutipan 12 mata dari 13 perlawanan, dua mata di belakang Jerudong FC yang baru bermain 11 kali, dan tiga mata di depan IKLS FC yang turut memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan berbanding MS PDB.