Najip i-Team menang tipis

Najip i-Team menang tipis

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Najip i-Team melakukan yang secukupnya untuk meraih tiga mata walau sekadar menang tipis 2-1 ke atas Lun Bawang untuknya terus memberikan tekanan dan mengekori rapat Indera SC yang menghuni tangga kedua dengan hanya satu mata di belakang.

Mohammad Azri bin Zahari memberikan permulaan sempurna buat Najip i-Team dengan ledakan jaringannya seawal minit ke-11 bagi memberikan pasukannya pendahuluan 1-0.

Bagaimanapun Lun Bawang yang mengejutkan juara bertahan, Indera dengan jaringan 2-0 penghujung Ogos lalu pada Minggu Ke-9 Pusingan Pertama Liga Super DST 2015, berjaya mengimbangi semula perlawanan dengan gol penyamaan Delson bin Jumat pada minit ke-34.

Namun hanya tiga minit selepas itu, kedudukan menjadi 2-1 memihak Najip i-Team apabila Muhd Karimurrizal bin Kasmi mengembalikan pendahuluan satu gol Najip i-Team dengan jaringannya.

Dua penjaring Najip i–Team (kuning), Muhd Karimurrizal (kanan) dan Mohammad Azri (dua kiri) dalam salah satu gandingan serangan mereka ke atas Lun Bawang.
Dua penjaring Najip i–Team (kuning), Muhd Karimurrizal (kanan) dan Mohammad Azri (dua kiri) dalam salah satu gandingan serangan mereka ke atas Lun Bawang.

Perlawanan separuh masa kedua di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berkenaan berlangsung tanpa ada lagi jaringan dihasilkan sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat Najip i-Team.

Melalui tambahan tiga mata berkenaan, Najip i-Team kini mengumpul 24 mata untuknya kekal di tangga ketiga liga. MS ABDB masih di puncak liga dengan 30 mata, disusuli Indera di tempat kedua dengan 25 mata.

Tiga pasukan teratas Liga Super masing-masing sudah mengharungi sembilan permainan pusingan pertama dan dua permainan pusingan kedua.

Masing-masing kini hanya perlu mengharungi tujuh perlawanan saja lagi sebelum mahkota juara ditentukan menjadi milik siapa musim ini.