Najip i-Team rapatkan jurang mata

Najip i-Team rapatkan jurang mata

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Najip i-Team merapatkan kembali jarak matanya dengan Indera SC kepada hanya dua mata setelah menang tipis 2-1 dalam pertarungan sengitnya dengan Jerudong FC.

Penyerang utama Najip i-Team, Mohd Azri bin Zahari membuka tirai jaringan perlawanan di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu pada minit ke-19 untuk membawa pasukannya mendahului 1-0.

Selepas jaringan itu, bola dikawal sepenuhnya oleh Jerudong FC namun mereka sering hampa apabila setiap serangan yang dilancarkan gagal membuahkan hasil akibat ketumpulan penyudah para pemainnya dan kecekapan penjaga gol lawan, Fardillah bin Haji Md Ali.

Separuh masa kedua menyaksikan Jerudong FC terus mengekalkan momentum serangan bertali arusnya sehingga akhirnya berjaya juga membolo-si gawang kebal Najip i-Team pada minit ke-62 disumbangkan oleh Agus Haryono untuk mengikat kedudukan 1-1.

Detik cemas di gawang Najip i-Team (kuning) dalam catatan kemenangan 2-1 ke atas Jerudong FC (merah) untuknya kekal memburu gelaran naib juara Liga Super DST 2015.
Detik cemas di gawang Najip i-Team (kuning) dalam catatan kemenangan 2-1 ke atas Jerudong FC (merah) untuknya kekal memburu gelaran naib juara Liga Super DST 2015.

Ketika perlawanan dilihat akan terus dikuasai dan dimenangi Jerudong FC, Norfaez bin Sayang tampil selaku wira Najip i-Team apabila mengambil peluang sepenuhnya di atas keterlekaan pertahanan Jerudong FC untuk meledakkan jaringan kedua dan kemenangan Najip i-Team tujuh minit sebelum perlawanan masa sebenar berakhir.

Tambahan tiga mata itu membawa kutipan mata Najip i-Team kepada 36 mata daripada 17 permainan, di belakang Indera SC yang sudah mengumpul 38 mata daripada 16 permainan.

Kemenangan itu juga memberi petanda tidak ada lagi pasukan di bawahnya mampu memintasnya termasuk Wijaya FC yang kini mengumpul 28 mata dari 17 permainan di tangga keempat dan Tabuan Muda di tempat kelima yang memiliki jumlah 24 mata daripada 15 permainan, sekali gus mengesahkan kedudukan tiga teratas menjadi miliknya.

Hanya keputusan perlawanan terakhirnya dan keputusan dua perlawanan terakhir Indera SC yang akan menentukan nasibnya memenangi tempat ketiga atau pun naib juara Liga Super DST 2015.

ARTIKEL YANG SAMA