Najip i-Team tewaskan IKLS FC 5-3

Najip i-Team tewaskan IKLS FC 5-3

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 27 Okt – Minggu Ketujuh Pusingan Kedua Liga Super DST 2015 melabuhkan tirainya malam tadi di Kompleks Sukan Tutong yang menyaksikan pesta lapan gol dimenangi Najip i-Team dengan jaringan 5-3 ke atas IKLS FC.

Agak mengejutkan apabila pasukan di tangga kesembilan, IKLS FC sudah mengemudi perlawanan dengan jaringan 2-0 ketika perlawanan baru berlangsung lapan minit menerusi jaringan Mohammad Saiful Ammar bin Haji Adis pada minit ke-4 dan kemudiannnya Zool Hasbemi bin Haji Bahmin empat minit kemudian.

Pasukan di tangga ketiga, Najip i-Team yang masih berpeluang mengakhiri kempennya musim ini di tempat kedua jelas tersentak dengan dua gol awal itu namun mampu pulih walau sekadar berjaya menjaringkan satu gol pada separuh masa pertama menerusi sepakan penalti Noor Raimi bin Karim @ Syahremy pada minit ke-23.

Masih ketinggalan 1-2 ketika perlawanan disambung ke separuh masa kedua, Najip i-Team segera menekan lawannya untuk mendapatkan gol penyamaan dan ternyata taktik itu berkesan dengan terhasilnya jaringan dari ledakan Mohammad Azri bin Zahari hanya seminit selepas sepak mula.

Berjaya menyamakan kedudukan tidak menyebabkan Najip i-Team mengubah taktiknya dan hasilnya Mohammad Azri sekali lagi membolosi gawang IKLS FC hanya berselang tiga minit selepas gol pertamanya untuk buat pertama kalinya Najip i-Team pula mendahului perlawanan, dengan kedudukan 3-2.

Mohammad Azri yang baru nampak ‘panas’ di babak kedua selepas tumpul di babak pertama berterusan menghantui pertahanan IKLS FC apabila mencetak hatrik pada minit ke-65 untuk terus menghidupkan semula peluang Najip i-Team bersaing merebut gelaran naib juara selepas gelaran juara sah dimiliki MS ABDB.

Pada kedudukan 4-2, Mohammad Azri jelas belum puas dan nampak semakin seronok menguji pertahanan IKLS FC sehingga berjaya sekali lagi menggegar gawang IKLS FC untuk gol keempat peribadinya dan kelima pasukannya pada minit ke-71.

Amukan Mohammad Azri mula reda selepas gol itu sekali gus memberi ruang dan peluang kepada IKLS FC pula bangkit namun jaringan Atifuddin @ Amir Mamduh bin Momin menerusi sepakan penalti pada minit ke-85 untuk merubah kedudukan menjadi 3-5 dilihat agak terlambat walaupun mampu menggusarkan Najip i-Team buat seketika.

Catatan kemenangan kesebelasnya musim ini berkenaan berjaya membawa Najip i-Team ke tangga kedua liga semula dengan 33 mata dari 16 permainan, hanya satu mata di atas Indera SC yang baru bermain 15 kali.

Indera SC hanya memerlukan 7 mata dari 9 mata maksimum yang tinggal iaitu menang dua dan seri satu untuknya mengesahkan status naib juara menjadi miliknya, berkat kelebihan jaringannya yang lebih besar dan bolosnya yang lebih rendah berbanding Najip i-Team, jika sekiranya kedua-dua pasukan terikat 39 mata di penghujung liga.

Najip i-Team pula kekal berpeluang merampas gelaran naib juara itu jika menang kedua-dua baki perlawanannya untuk mengumpul 39 mata sambil berharap Indera SC tewas satu daripada tiga baki perlawanannya untuk hanya mengumpul 38 mata.

Dua baki perlawanan Najip i-Team adalah menentang Jerudong FC dan Wijaya FC, manakala Indera SC pula perlu berdepan Wijaya FC, Kilanas FC dan kemudiannya MS ABDB pada perlawanan penutup tirai Liga Super DST 2015 nanti.

ARTIKEL YANG SAMA