Najip menang tipis

Najip menang tipis

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Najip i-Team kini menghuni tangga kedua Liga Super DST 2015 memintas Indera SC selepas menang tipis 2-1 ke atas pasukan tercorot, Kilanas FC malam tadi.

Najip kini mengumpul 21 mata daripada 10 permainan, sementara Indera SC dua mata di belakang daripada sembilan permainan. MS ABDB kekal berada di kedudukan teratas dengan 27 mata daripada 10 perlawanan.

Separuh masa pertama berakhir 1-0 memihak kepada Najip i-Team menerusi jaringan Mohammad Azri bin Zahari di penghujung babak pertama berkenaan.

Kilanas FC walaupun masih gagal mengutip sebarang mata, mempamerkan persaingan sengit kepada Najip, yang terbukti dengan penghasilan gol penyamaannya pada minit ke-67 yang disumbangkan oleh Pengiran Khairullizam bin Pengiran Bungsu.

Najip (kuning) menang tipis ke atas Kilanas tetapi cukup untuknya naik ke tangga kedua Liga Super DST memintas Indera SC.
Najip (kuning) menang tipis ke atas Kilanas tetapi cukup untuknya naik ke tangga kedua Liga Super DST memintas Indera SC.

Namun Najip tidak berdiam diri dan hasilnya mereka terus berjaya mendapatkan semula pendahuluan satu golnya apabila Abdul Azim bin Abdul Rahman meledakkan gol kedua pasukan itu pada minit ke-68, hanya seminit selepas gol penyamaan Kilanas.

Kedudukan 2-1 pada perlawanan di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat perlawanan, sekali gus menyambung kehampaan tanpa mata Kilanas ke pusingan kedua Liga Super.

ARTIKEL YANG SAMA