Nak pecat silakan

Nak pecat silakan

LONDON, 5 Okt (AFP) – Pengurus Chelsea Jose Mourinho mengaku beliau berdepan risiko dipecat selepas anak buahnya tewas 3-1 di tangan Southampton malam kelmarin, sekali gus mengakibatkan juara bertahan itu ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu.

“Jika kelab merasakan mereka mahu memecat saya, silakan kerana saya tidak akan melarikan diri,” kata Mourinho kepada Sky Sports pada sidang akhbar selepas perlawanan di Stamford Bridge.

“Ini adalah saat paling sukar dalam sejarah kelab kerana jika mereka memecat saya, mereka memecat pengurus terbaik buat kelab. Mesej yang ada sekarang ialah kami mencapai keputusan buruk dan pengurus bersalah.

“Sekarang masanya untuk bertanggungjawab atas semua yang berlaku. Saya akan memikul tanggungjawab saya dan pemain juga perlu memikul tanggungjawab mereka.

“Begitu juga dengan kakitangan kelab yang lain di mana mereka juga perlu memikul tanggungjawab mereka dan kembali bersatu padu.”

Jose Mourinho yang kini berdepan risiko pemecatan selepas Chelsea tewas lagi baru-baru ini. – AFP
Jose Mourinho yang kini berdepan risiko pemecatan selepas Chelsea tewas lagi baru-baru ini. – AFP

Selepas ketinggalan hasil sepakan percuma Willian pada minit ke-10, Southampton menyamakan kedudukan menerusi Steven Davis sambil Sadio

Mane dan Graziano Pelle memberikan Chelsea kekalahan keempat musim ini.

Ia adalah permulaan paling buruk Chelsea sepanjang aksi liga utama sejak 1978 apabila mereka menamatkan kempen dengan berada di tempat tercorot dan tersingkir ke liga bawahan.

“Saya menganggap diri saya bersemangat tinggi dan ego saya juga tinggi. Saya melabel diri saya sebagai yang terbaik,” kata Mourinho.

“Ketika ini, memang saya kecewa. Apa yang berlaku ke atas Chelsea membuatkan saya lebih kecewa kerana saya sangat sayangkan kelab ini dan saya mahu meneruskan tugas. Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan.”

Selepas dikalahkan 2-1 oleh Porto pada kempen Liga Juara-Juara awal minggu ini, Chelsea gagal menghasilkan cubaan tepat ke arah gawang lawan sepanjang babak kedua menentang Southampton dan ia adalah kekalahan kedua di tempat sendiri sepanjang tiga perlawanan liga.

ARTIKEL YANG SAMA