Nakhoda, Panglima 1 jadi tarikan

Nakhoda, Panglima 1 jadi tarikan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Dua kereta unik yang diperbuat daripada bahan-bahan terbuang, diberi nama ‘Nakhoda’ dan ‘Panglima 1’, menjadi tarikan pengunjung pada Pameran Inovasi Usahawan Belia 2015, yang berlangsung selama dua hari, hingga esok, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Berakas

Mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (UBD), Awang Khairul Zhafri Haji Mohd Noor selaku wakil Pasukan ‘Gennext Pejuang’ UBD ketika ditemui semasa pameran berkenaan menjelaskan, nama kereta ‘Nakhoda’ dipilih kerana mengambil sukut nama gelaran Sultan Bolkiah yang amat berkuasa pada zaman pemerintahannya.

Untuk menghasilkan kereta tersebut, mereka mengambil masa lapan bulan dan merupakan salah satu projek UBD untuk mewakili Negara Brunei Darussalam dalam pertandingan ‘Shell Eco-Marathon’ di Manila.

Melalui projek tersebut, UBD cuba mengambil pelajar-pelajar dari pelbagai fakulti untuk menjadi sebuah pasukan dan ikut serta dalam pertandingan berkenaan.

Salah seorang ahli pasukan, Dayang Nazurah Mohd Noor menjelaskan seramai 16 pelajar UBD telah dipilih dan dibahagikan kepada dua pasukan untuk menghasilkan dua projek iaitu kereta ‘Semaun’ dan ‘Nakhoda’.

Pusat Latihan Mekanik mempamerkan kereta ‘Panglima 1’ dalam Pameran Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini.
Pusat Latihan Mekanik mempamerkan kereta ‘Panglima 1’ dalam Pameran Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini.
UBD dan Pusat Latihan Mekanik mempamerkan kereta Nakhoda (kiri) dan Panglima 1 di Pameran Hari Belia Kebangsaan kelmarin.
UBD dan Pusat Latihan Mekanik mempamerkan kereta Nakhoda (kiri) dan Panglima 1 di Pameran Hari Belia Kebangsaan kelmarin.

Menurutnya, projek kereta ‘Semaun’ akan dipertandingkan dalam ‘Shell Eco-Marathon’ pada tahun yang akan datang di Manila, manakala kereta ‘Nakhoda’ akan mengikutinya buat kali keduanya nanti dan pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan sama di Manila, Mac yang lalu.

Apa yang menarik dengan projek ini adalah, rangka kereta ‘Nakhoda’ diperbuat daripada bahan-bahan terbuang iaitu besi buruk dan merupakan idea daripada semua peserta termasuk para penyelia dan pensyarah.

Manakala itu, kereta ‘Panglima 1’ direka cipta oleh pasukan pelajar tahun akhir Diploma Automotif, Pusat Latihan Mekanik.

Awang Khairul Zhafri wakil daripada Pasukan UBD ketika ditemubual mengenai kereta ‘Nakhoda’.
Awang Khairul Zhafri wakil daripada Pasukan UBD ketika ditemubual mengenai kereta ‘Nakhoda’.
Pemandu kereta ‘Panglima 1’, Awang Muhd Hafiz Zulqarnain dari Pusat Latihan Mekanik ketika ditemubual.
Pemandu kereta ‘Panglima 1’, Awang Muhd Hafiz Zulqarnain dari Pusat Latihan Mekanik ketika ditemubual.

Menurut pemandunya, Awang Muhd Hafiz Zulqarnain Ismail, kereta berkonsepkan Urban itu diperbuat daripada bahan gentian dan barang-barang yang terbuang.

Projek tersebut dihasilkan oleh enam orang pelajar dengan mengambil masa enam ke tujuh bulan untuk disiapkan dan reka bentuknya adalah idea bersama guru-guru mereka.

Awang Muhd Hafiz memberitahu, ‘Panglima 1’ yang mempunyai enjin bio-diesel dan mencatat kelajuan 60-80 km/j itu juga pernah mengikuti pertandingan ‘Shell Eco-Marathon’ di Manila pada Mac lalu.

Walaupun tidak pernah menang, ia merupakan satu semangat dan kebanggaan kepada mereka kerana pernah mewakili negara mengikuti pertandingan berkenaan dan tidak akan berputus asa untuk cuba menghasilkan kereta yang lebih baik.

ARTIKEL YANG SAMA