Nama sekolah diberi nama indah

Nama sekolah diberi nama indah

KITA pernah meraikan 100 tahun persekolahan di Negara Brunei Darussalam dan kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dalam jangka 100 tahun itu bermacam-macam cara dan sistem diperkenalkan dalam memperbaiki dan meningkatkan mutu pelajaran di negara ini.

Pada masa dahulu, iaitu sekitar tahun 50-an, jika sudah dalam Tingkatan 3 maka penuntut akan mengambil peperiksaan yang digelar Sarawak Junior dan bila sudah Tingkatan 5 maka akan mengambil pula peperiksaan Senior Cambridge.

Peperiksaan Sarawak Junior kemudian ditukar menjadi Brunei Junior Certificate of Education hinggalah tahun 1962 di mana pada tahun 1963 buat kali pertama, penuntut Tingkatan 3 menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE, Malaysia) dan seterusnya bagi Tingkatan 5 akan menduduki peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE).

Selepas itu ia berbalik semula kepada peperiksaan Brunei Junior dan Brunei Senior Cambridge dan seterusnya Higher School Certificate (HSC). Beberapa tahun yang lalu Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Sistem Pendidikan Nasional (SPN), bertujuan untuk memberikan pelajaran dan keputusan terbaik kepada anak-anak Brunei.

Satu perkara yang masih belum berubah ialah nama-nama sekolah yang masih ada, yakni diberi nama mengikut Kampung seperti Sekolah Rendah/Menengah Sengkurong, Kupang, Keriam, Liang, Lumut, Telisai, Labi, Rempayoh dan lain-lain.

Mungkin lebih banyak sekolah yang diberi nama mengikut kampung daripada diberikan nama khas. Dari itu dicadangkan supaya Kementerian Pendidikan membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk menimbang dan mengkaji untuk memberi nama-nama yang difikirkan sesuai untuk diabadikan sebagai nama sekolah-sekolah di negara ini, seperti nama-nama diraja, pembesar-pembesar negara dan orang-orang yang berjasa kepada raja, bangsa dan negara.

Selepas nama khas ini, barulah disebut nama kampungnya dan dengan demikian akan lebih cantik dan indah serta molek.

Satu lagi cadangan saya ialah supaya Sekolah Lela Menchanai akan dapat dibina dan dihidupkan semula untuk murid-murid di Kampong Ayer. Nama ini cantik dan indah merupakan Permaisuri seorang Sultan Brunei yang termaktub dalam sejarah sebagai seorang Sultan yang memerintah keseluruhan Pulau Borneo di bawah Negeri Brunei.

Bekas Guru Tua, BSB

ARTIKEL YANG SAMA