‘Nangka’ menuju Jepun, batal penerbangan

‘Nangka’ menuju Jepun, batal penerbangan

TOKYO, 16 Julai – Taufan kuat sedang bergerak menuju ke Jepun hari ini, membawa hujan lebat, runtuhan tanah dan menyebabkan pembatalan penerbangan dan kereta api.

Taufan Nangka, membawa angin dengan kelajuan 198 kilometer sejam, berada kira-kira 220 kilometer dari selatan Shikoku, salah sebuah pulau utama negara, pada tengah hari waktu tempatan, kata Agensi Kaji Cuaca Jepun.

Ribut sedang bergerak ke utara barat laut pada 20 kilometer sejam, dijangka melanda Shikoku pada petang sebelum melanda pulau utama Honshu.

Hujan lebat telah pun melanda rantau Shikoku pada petang ini, dan rantau itu dijangka terjejas oleh angin kencang.

Agensi cuaca telah mengeluarkan amaran untuk banjir, angin kencang, runtuhan tanah dan ombak tinggi di selatan Jepun.

Nangka, nama sejenis buah di Malaysia, memaksa syarikat penerbangan Japan Airlines dan All Nippon Airways membatalkan lebih daripada 10 penerbangan domestik.

Operator kereta api rantau juga telah membatalkan beberapa perkhidmatan, terutamanya pada lewat petang, tatkala taufan semakin hampir. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA