Napoli belum sah ke pusingan 16 terakhir

Napoli belum sah ke pusingan 16 terakhir

MILAN, 24 Nov – Harapan Napoli untuk mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara perlu diputuskan pada pertemuan terakhir menentang Benfica selepas kelab Itali itu terikat tanpa jaringan dengan Dynamo Kiev, awal pagi tadi.

Napoli, yang hanya memerlukan keputusan seri di Portugal, kembali mendapat insentif tambahan apabila Benfica yang mendahului selesa 3-0 gagal mengekalkan rentak sekali gus membolehkan Besiktas bangkit mengikat kedudukan menjadi 3-3 di Istanbul.

Meskipun menguasai sepenuhnya aksi di San Paolo, skuad Maurizio Sarri dipaksa berkongsi mata oleh Kiev yang turun dengan corak permainan bertahan.

Keputusan seri kedua dalam Kumpulan B buat Napoli menyaksikan mereka terikat lapan mata bersama Benfica, dengan Besiktas ketiga kekurangan satu mata di belakang.

“Kami bukanlah diri kami yang sebenar malam ini,” kata kaptennya, Marek Hamsik kepada Mediaset Premium.

“Ia adalah memalukan kerana kemenangan boleh memudahkan misi kami. Tetapi kami masih di persada kumpulan dan akan pergi ke Lisbon dengan misi untuk melayakkan diri.

“Kami tahu satu mata sudah mencukupi untuk menyaksikan kami mara. Tetapi kami tidak akan bermain untuk seri. Apa pun kami perlu beraksi lebih baik daripada malam ini.” – AFP