Napoli pesta gol

Napoli pesta gol

ROM, 20 April (AFP) – Dries Mertens meledakkan jaringan hatrik dan Manolo Gabbiadini menyumbang dua gol ketika Napoli berusaha menghidupkan peluang mereka untuk memburu gelaran Serie A dengan membelasah Bologna 6-0 pada perlawanan awal pagi tadi.

David Lopez melengkapkan kemenangan besar dengan satu jaringan yang terhasil selepas penjaga gol Bologna, Antonio Mirante melakukan kesilapan.

Pendahulu liga, Juventus boleh mengesahkan kejuaraan kelima berturut-turut dengan kemenangan ke atas Lazio awal pagi esok sekiranya Napoli tewas.

Sebaliknya, Napoli kekal mencabar juara bertahan itu dengan Gabbiadini menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama, sekali gus merapatkan jurang penguasaan Juventus kepada untuk enam mata.

Pemain Napoli David Lopez (tengah) meraikan jaringan semasa aksi Serie A menentang Bologna di stadium San Paolo di Naples, kelmarin. – AFP
Pemain Napoli David Lopez (tengah) meraikan jaringan semasa aksi Serie A menentang Bologna di stadium San Paolo di Naples, kelmarin. – AFP

Selepas itu, pertahanan Bologna terus dihukum dengan persembahan cemerlang Martens yang meledak hatrik dan satu jaringan daripada Lopez.

Jurulatih Bologna yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan Itali, Roberto Donadoni meletakkan kekalahan memalukan itu di bawah tanggungjawabnya.

“Kami bermain dengan kelam kabut, saya orang pertama yang bertanggungjawab. Saya memohon maaf kepada peminat dan kini saya mahu reaksi dari pemain,” katanya kepada Mediaset Premium.