Napoli rampas kedudukan pendahulu liga

Napoli rampas kedudukan pendahulu liga

MILAN, 11 Jan (AFP) – Gonzalo Higuain membuat jaringan ke-18 dalam kempen Serie A ketika membantu Napoli menewaskan Frosinone 5-1 sekali gus merampas kedudukan pendahulu liga daripada Inter Milan, malam tadi.

Ketika membuat kunjungan sulung ke laman lawan tahun ini, Napoli menghuni tangga kedua liga namun kekalahan Inter kepada Sassuolo pada aksi lebih awal San Siro membuka peluang itu. Menentang Frosinone yang ketika ini bergelut di zon penyingkiran, Napoli tidak bermasalah mencatat kemenangan ke-12 dalam saingan elit Itali itu yang memberi kelebihan dua mata di depan Inter dengan Fiorentina di tempat ketiga.

Pada aksi di laman lawan, Stadium Comunale itu, Raul Albiol meletakkan pelawat di depan pada minit ke-20 sebelum Higuain meledak jaringan pertamanya pada perlawanan itu menerusi penalti pada minit ke-30.

Kedudukan kekal 2-0 sehingga babak pertama berakhir sebelum Napoli meledak tiga lagi gol pada babak kedua.

Gonzalo Higuain dalam salah satu aksinya dalam perlawanan tersebut. – Reuters
Gonzalo Higuain dalam salah satu aksinya dalam perlawanan tersebut. – Reuters

Bermula dengan jaringan kapten pasukan, Marek Hamsik pada minit ke-59, gawang Frosinone sekali lagi bocor seminit kemudian menerusi Higuain.

Ia gol ke-18 penyerang kelahiran Argentina itu daripada 19 perlawanan sekali gus mendahului senarai penjaring terbanyak Serie A ketika ini.

Manolo Gabbiadini yang masuk menggantikan Higuain pada minit ke-66 kemudian menjaringkan gol kelima Napoli pada minit ke-71 dengan gol sagu hati tuan rumah dijaringkan Paolo Sammarco pada minit ke-81.

ARTIKEL YANG SAMA