Napoli semakin kukuh

Napoli semakin kukuh

MILAN, 17 Jan – Napoli bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sassuolo 3-1, sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak Serie A Itali apabila satu lagi pencabar, Inter Milan diikat 1-1 menentang Atalanta, semalam.

Keputusan menyaksikan Napoli kini mempunyai kelebihan empat mata di puncak liga di depan Inter selepas mengumpul 40 mata daripada 20 perlawanan dengan pencabar utama lain, Juventus dan Fiorentina dijadual beraksi awal pagi esok.

Penyerang Argentina, Gonzalo Higuain meledak dua gol sekali gus menambah jumlah jaringannya kepada 20 gol sepanjang Serie A musim ini, manakala Jose Callejon menjaringkan gol pertamanya bagi membantu Napoli menyamakan kedudukan selepas Diego Falcinelli membuka tirai jaringan buat Sassuolo pada minit ketiga permainan.

Juventus boleh mendaki tangga kedua liga mengatasi Inter andai menewaskan Udinese yang bakal menjadi kemenangan ke-10 berturut-turut musim ini.

Pemain-pemain Napoli meraikan kemenangan mereka. - Reuters
Pemain-pemain Napoli meraikan kemenangan mereka. – Reuters

Dalam pada itu, peluang Inter untuk mencabar kejuaraan terus berdepan tamparan ketika berdepan Atalanta yang gagal menang dalam empat perlawanan sebelum ini.

Atalanta tampil dengan lebih bertenaga dan banyak memberikan masalah kepada penjaga gol Inter, Samir Handanovic yang terpaksa melakukan beberapa aksi menyelamat cemerlang bagi mengawal gawangnya.

Gol kedua-dua pasukan adalah jaringan sendiri pada babak pertama. – Agensi