Napoli terima padah

Napoli terima padah

MILAN, 5 April (AFP) – Jaringan Gonzalo Higuain berturut-turut dalam Serie A dijangka terhenti dengan penggantungan yang akan menamatkan impian gelaran Serie A Napoli yang lama di nanti-nantikan.

Higuain menjaringkan gol ke-30 dalam kempen liga pada Ahad lalu untuk menghampiri 35 jaringan penyerang AC Milan yang sudah bersara, Gunnar Nordah untuk 20 pasukan dalam semusim Serie A.

Tetapi penyerang Argentina itu kehilangan plot selepas dilayangkan kad merah dalam kekalahan 3-1 Napoli kepada Udinese yang menyaksikan mereka ketinggalan enam mata dari pendahulu dan juara, Juventus.

Higuain menolak pengadil Massimiliano Irrati, kemudian terpaksa ditenangkan oleh pemain lain ketika dia dengan berang berbalah bersama pemain Udinese, Felipe, yang terduduk berikutan cabaran kasar. Menurut laporan yang tersebar semalam, Higuain sekarang berisiko menghadapi penggantungan minimum tiga perlawanan.

Bekas pengadil dan ketua pengadil, Paolo Casarin berkata tindakan Higuan tidak dapat dibiarkan dan walaupun dia berkata segalanya bergantung ke atas laporan perlawanan Irrati, pemain penyerang Argentina itu dijangka akan menerima akibatnya.

“Saya rasa Higuain dengan segera menyedari mengenai kedudukan itu,” Casarin memberitahu Radio Rai. “Penggantungan lapan perlawanan terlalu dibesar-besarkan bagi saya, tetapi pemain perlu berhenti menghampiri pengadil dalam keadaan itu.

“Pemain perlu berhenti untuk melakukan kekasaran apabila mereka bersalah…tetapi tolakan dari Higuain itu tidak dapat diabaikan.”

Para pegawai Serie A akan memberikan keterangan dalam masa beberapa hari dan jika sah, ia akan menamatkan harapan Napoli untuk merangkul gelaran liga pertama sejak Diego Maradona beraksi bagi dua musim terakhirnya di kelab itu pada 1990.

Dengan 30 jaringan liga setakat ini, Higuain merupakan penjana di sebalik kekuatan cabaran Napoli musim ini walaupun pasukan itu, pada keseluruhannya, cemerlang di bawah jurulatih Maurizio Sarri.