Napoli tetap menang tanpa Higuan

Napoli tetap menang tanpa Higuan

MILAN, 11 April (AFP) – Napoli tidak berdepan masalah menundukkan pasukan tangga terbawah Verona 3-0 malam tadi, walaupun tanpa kehadiran Gonzalo Higuain yang digantung.

Napoli terus kekal enam mata di belakang pendahulu Juventus selepas mengatasi Verona 3-0 dengan gol disumbangkan Manolo Gabbiadini, Lorenzo Insigne dan Jose Callejon.

Juventus pula kini mendahului Serie A dengan 76 mata diikuti Napoli (70), Roma (63), Inter Milan (58) dan Fiorentina (56).

Sementara itu, kempen buruk Palermo berterusan apabila dimalukan Lazio 3-0 dalam aksi Serie A di laman sendiri.

Bagaimanapun Palermo yang kini menghuni zon penyingkiran berdepan detik cemas apabila penyokongnya bertindak di luar kawalan dengan membakar dan membaling mercun roket serta suar sehingga memaksa perlawanan dihentikan sebanyak dua kali.

Gabbiadini (tengah) ketika bersaing dengan pemain Verona pada aksi perlawanan Italia Serie A di Stadium San Paolo semalam. – AFP
Gabbiadini (tengah) ketika bersaing dengan pemain Verona pada aksi perlawanan Italia Serie A di Stadium San Paolo semalam. – AFP

Suasana ‘perang’ itu dimulakan gara-gara penyokong Palermo tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan kesayangan mereka yang kini berada di tangga ketiga terbawah Serie A.

Antara pemain yang paling terkesan dengan tindakan penyokong kelab Sicilians itu adalah bintang Lazio Antonio Candreva – dia terpaksa menutup telinganya dalam keadaan panik selepas berjaya menyelamatkan diri daripada suar yang dibaling kepadanya.

Penyerang Lazio, Miroslav Klose berkata kepada Sky Sport selepas itu, “Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam bola sepak… tetapi anda mungkin faham kemarahan mereka kerana tidak mahu tersingkir ke Serie B.

“Pasukan mereka rata-ratanya dibarisi pemain muda, jadi ia sukar (untuk mereka). Kita perlu memikirkan soal penyokong, kerana mereka membeli tiket.”

Api kemarahan itu sebenarnya sudah bermula sebelum sepak mula apabila dilaporkan penyokong sudah bergaduh di luar stadium, malah difahamkan beberapa penyokong Palermo menikam penyokong Lazio di sebuah bar berhampiran sebelum itu.

Lazio, yang mengharungi krisis minggu lalu sehingga menyaksikan pemecatan pengendali Stefano Pioli untuk digantikan oleh Simone Inzaghi, mendahului 2-0 selepas 15 minit perlawanan dengan kedua-dua gol dijaringkan tonggak veteran Jerman Klose sambil Felipe Anderson menyumbangkan gol ketiga pada minit ke-73.