NASA-Rusia meterai kontrak AS$490 juta

NASA-Rusia meterai kontrak AS$490 juta

WASHINGTON, 6 Ogos – NASA melanjutkan kontrak dengan agensi angkasa lepas Rusia membabitkan kos AS$490 juta untuk membawa angkasawan Amerika Syarikat ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) di tengah-tengah kekurangan pembiayaan Kongres, menurut agensi AS itu semalam.

Amerika Syarikat akan terus bergantung secara eksklusif ke atas Rusia untuk membawa angkasawan ke orbit di bawah perjanjian kontrak baru, yang berkuat kuasa sehingga 2019, meskipun hubungan di antara kedua-dua negara mencecah paras terendah sejak Perang Dingin.

Amerika Syarikat amat bergantung ke atas Rusia bagi akses ke atas ISS sejak ia menamatkan program kapal angkasanya pada Julai 2012.

NASA berkata kekurangan pembiayaan bagi pembinaan kapal angkasa oleh syarikat swasta seperti Boeing dan SpaceX sejak lima tahun lepas menyebabkan NASA tiada pilihan lain.

Berikutan perjanjian itu, AS akan membayar bagi penggunaan kapal angkasa milik Agensi Angkasa Lepas Persekutuan Rusia (Roscosmos), meskipun ketika Washington melaksanakan sekatan ekonomi ke atas Rusia berhubung sokongannya ke atas kumpulan pemisah yang menentang tentera Kiev di timur Ukraine. – AFP