Nasib 1.6 juta kanak-kanak Nepal membimbangkan – UNICEF

Nasib 1.6 juta kanak-kanak Nepal membimbangkan – UNICEF

KATHMANDU, 30 Okt (Bernama) – Tabung Kanak-Kanak PBB UNICEF telah menyatakan kebimbangan serius mengenai masa depan 1.6 juta kanak-kanak Nepal disebabkan kekurangan bahan api dan komoditi asas lain termasuk penjagaan kesihatan dan penutupan sekolah.

“Kanak-kanak, terutamanya di selatan dataran Tarai dan daerah pergunungan di kawasan tengah dan tengah-timur negara yang paling teruk terjejas oleh gempa bumi pada awal tahun ini, telah terjejas oleh keadaan yang berlaku sekarang,” kata satu kenyataan media UNICEF.

Salah satu kesan paling ketara adalah kemudahan kanak-kanak mendapatkan pendidikan, tatkala sekolah di Nepal untuk tempoh enam bulan terakhir, selepas gempa bumi besar pada 25 April, masih dibuka selama separuh daripada jumlah hari yang sepatutnya dibuka, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil UNICEF Nepal Tomoo Hozumi.

Ia berkata di sembilan daerah dataran tengah dan timur sahaja, penutupan sekolah dalam tempoh dua bulan lalu telah menjejas pendidikan lebih 1.6 juta kanak-kanak sekolah, sementara sekolah di beberapa daerah masih dibuka selama lima hari sahaja dan bukannya 122 hari.

Sekolah yang ditutup selama lima minggu ekoran gempa bumi di daerah terjejas telah berusaha untuk mengganti hari-hari akademik yang hilang dengan membuka sekolah ketika cuti, menurut kenyataan.

Pengalaman global telah menunjukkan apabila kanak-kanak tidak hadir ke sekolah untuk satu tempoh yang lama, timbulnya risiko mereka mungkin tidak akan kembali dan tercicir daripada sekolah,” kata badan Kanak-Kanak PBB menambah, “ia juga mungkin berulang di Nepal.” – Bernama

Gempa bumi pada 25 April berukuran 7.9 di skala Richter telah membunuh lebih daripada 9,000 orang dan merosakkan lebih 8,000 buah sekolah serta setengah juta rumah persendirian dan bangunan awam.

Nepal berikrar akan membina semula struktur yang rosak termasuk bangunan sekolah dalam tempoh tiga tahun. Namun kerja-kerja pembinaan semula masih belum bermula walaupun enam bulan selepas gempa bumi berlaku.

ARTIKEL YANG SAMA