Nasib 3 pencuri diketahui 4 Oktober

Nasib 3 pencuri diketahui 4 Oktober

Oleh Rafidah Jumat

pg06_160927_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – Mahkamah Majistret, hari ini, menetapkan 4 Oktober untuk sebutan hukuman tiga orang lelaki warga tempatan atas pertuduhan mencuri, merosakkan harta benda dan menceroboh.

Ridhwan bin Buang, 19, mengaku bersalah atas 14 pertuduhan mencuri dan dua tuduhan, masing-masing melakukan kerosakan harta benda dan menceroboh.

Dia didakwa bersama Budiman bin Nassar, 37, dan Irwan bin Haji Bangok, 42, yang turut mengaku bersalah kerana mencuri satu alat penghawa dingin dari Flat Perumahan Bomba di Kampung Terunjing antara Mei dan September 2016.

Ridhwan juga menghadapi tuduhan mencuri enam plat pendaftaran; dua kusyen kerusi; dua kerusi meja makan dan dua bangku selain turut berdepan dakwaan merosakkan tombol pintu dan menceroboh dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Mei dan September 2016 di flat yang sama.

Budiman juga berdepan kesalahan mencuri satu rangka pintu gelongsor dari flat yang sama sekitar Mei dan September 2016, dan menjualnya pada harga $3 dan hasilnya digunakan untuk perbelanjaannya.

Siasatan polis mendedahkan ketiga-tiga tertuduh mencuri alat penghawa dingin itu di mana Ridhwan dan Budiman kemudian menjualnya pada harga $10.

Hasil jualan alat penghawa dingin itu digunakan untuk membeli minyak kereta dan rokok.

Ridhwan turut mengaku telah merosakkan tombol pintu di salah satu unit kosong di flat tersebut dan menukar tombol baru bagi membolehkannya masuk dan menyimpan barang-barang curi.

Dia juga mengaku menggunakan unit kosong itu sebagai tempatnya untuk mengambil dadah.

Ketiga-tiga tertuduh dalam kata-kata rayuan memohon pertimbangan dan meminta hukuman diringankan.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman di Penjara Jerudong sementara menunggu tarikh hukuman.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Pengiran Hajah Nor’Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin.

ARTIKEL YANG SAMA