Nasib bapa durjana 29 Mac ini

Nasib bapa durjana 29 Mac ini

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Seorang bapa yang berdepan sembilan pertuduhan melakukan kesalahan rogol dan cubaan rogol terhadap tiga orang anak kandungnya akan mengetahui nasibnya pada 29 Mac di Mahkamah Perantaraan.

Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Bahar menetapkan tarikh sebutan hukuman itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abd Rahman yang mahu mahkamah mengambil serius akan kes itu dengan memperuntukkan hukuman yang lebih berat.

“Tertuduh telah menyalahgunakan amanah dan kuasa sebagai seorang bapa kandung di mana dia telah merogol dua orang anaknya dan cuba mencabul kehormatan seorang lagi anaknya.

Timbalan Pendakwa Raya turut menghujahkan bahawa tertuduh telah melakukan kekerasan ketika memperkosa anak-anaknya dan juga memanipulasi minda salah seorang anaknya dengan mengatakan apa yang dilakukannya itu boleh menghindar mangsa daripada gangguan semangat jahat.

pg06_160323_mahkamah logo

Dalam sebutan terdahulu, lelaki tempatan berusia 52 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan memperkosa anaknya (Dayang X) daripada isteri pertama, dan cubaan rogol serta merogol dua lagi anaknya (Dayang Y dan Dayang Z) daripada isteri kedua.

Dia didakwa merogol Dayang X sebanyak empat kali antara tahun 2002 dan 2003 ketika mangsa berusia 13 tahun dengan menyamar sebagai ‘orang asing’ yang dikuasai oleh semangat jahat dan sebanyak dua kali pada Februari 2016 ketika berusia 26 tahun.

Dia melakukan kesalahan keji itu di tempat berasingan di tempat yang gelap.

Tertuduh juga dituduh cuba merogol Dayang Y yang berusia 15 tahun sekitar tahun 2014 dan merogol Dayang Z yang berusia 16 tahun sebanyak dua kali pada 2015.

Perbuatan tertuduh hanya diketahui apabila teman lelaki Dayang X menerima pesanan melalui WhatsApp yang memaklumkan bahawa tertuduh telah merogol Dayang X.

Teman lelakinya membuat laporan polis di mana tertuduh mengaku telah memperkosa Dayang X dan Dayang Z, dan cubaan merogol Dayang Y.

Tertuduh yang ingin berjumpa dengan keluarganya hanya dibenarkan 10 minit perjumpaan bersama dua ahli keluarganya sahaja oleh Hakim Pengiran Masni, yang memerintahkan tertuduh ditahan reman di Penjara Jerudong sementara menunggu tarikh hukuman.

ARTIKEL YANG SAMA