Nasib Benzema bulan depan

Nasib Benzema bulan depan

CLERMONT-FERRAND, Perancis, 23 Mac (AFP) – Penyerang Perancis, Karim Benzema akan mengetahui nasibnya bulan depan sama ada boleh beraksi atau tidak untuknya negaranya di Euro 2016, dedah Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis, Noel Le Graet semalam.

“Kami akan berbincang dengan penasihat undang-undang kami,” kata Le Graet ketika sidang media di sini. “Kami akan membuat keputusan sebelum 15 April.”

Bintang Real Madrid itu digantung daripada skuad kebangsaan Perancis Disember lalu selepas disiasat kerana cuba memeras ugut, Mathieu Valbuena membabitkan video seks rakan sepasukannya itu.

Benzema dituduh bersubahat dalam cubaan berkenaan. Sekatan undang-undang yang menghalang Benzema daripada menghampiri Valbuena ditarik balik bulan ini, tetapi penyerang itu masih digantung daripada skuad kebangsaan.

Awal minggu ini, Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls dan Menteri Sukan, Patrick Kanner menyatakan Benzema ‘belum lagi memenuhi syarat’ untuk kembali bersama Les Blues.

Benzema akan mengetahui nasibnya bersama skuad Les Blues bulan depan. – Reuters
Benzema akan mengetahui nasibnya bersama skuad Les Blues bulan depan. – Reuters

“Saya rasa syarat berkenaan masih belum dipenuhi untuk Karim Benzema kembali ke pasukan Perancis. Dia masih dalam siasatan,” kata Valls kepada televisyen Perancis, RMC. “Pada masa yang sama, ia adalah keputusan Persekutuan Bola Sepak Perancis dan juga jurulatih.”

Harapan penyerang Real Madrid, Benzema untuk bermain pada Euro 2016 menerima suntikan sokongan selepas penggantungan dikenakan terhadapnya membabitkan ugutan pita seks ditarik balik minggu lalu.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menyatakan dengan jelas keinginannya untuk melihat Benzema kembali ke pasukan kebangsaan, selepas penyerang itu digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) pada Disember.

“Berdasarkan perancangan sukan, saya mahu memiliki pemain terbaik. Anda bukanlah penyerang di Real Madrid selama lima tahun bersama (Jose) Mourinho, (Carlo) Ancelotti, (Rafael) Benitez dan (Zinedine) Zidane jika tiada apa-apa.

Semua negara cemburu kepada kami,” kata Deschamps kepada akhbar harian Perancis, L’Equipe baru-baru ini.