Nasib Blatter, Platini diketahui hujung Disember

Nasib Blatter, Platini diketahui hujung Disember

ZURICH, 24 Nov (Reuters) – Hakim-hakim etika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam berkata mereka mahu menentukan nasib presiden Sepp Blatter yang dikenakan penggantungan dan lelaki yang berharap menggantikannya, Michel Platini, pada akhir Disember, berikutan penyiasatan terhadap dakwaan rasuah.

Penyiasatan terhadap pembayaran sebanyak 2 juta Swiss franc dari FIFA kepada presiden UEFA, Platini pada 2011 membentuk sebahagian skandal rasuah meluas yang menggegarkan badan induk bola sepak itu.

Kedua-duanya digantung selama 90 hari pada 8 Oktober lalu, bergantung ke atas penyiasatan penuh oleh penyiasat Etika FIFA yang diselesaikan pada Jumaat. Badan itu mungkin, jika mereka lihat sesuai, mengenakan penggantungan selanjutnya ke atas salah seorang atau ke atas kedua-duanya.

Blatter juga menghadapi penyiasatan jenayah Switzerland mengenai perkara itu.

“Dewan kehakiman dari Jawatankuasa Etika bebas…hari ini membuka prosiding kehakiman rasmi ke atas Joseph S. Blatter dan Michel Platini berdasarkan laporan akhir yang dihantar oleh dewan penyiasatan,” kata kenyataan daripada jurucakap Eckert.

Gambar fail 29 Mei 2015 menunjukkan Blatter dan Platini berjabat tangan selepas undian mengenai pemilihan presiden FIFA di Zurich. – AFP
Gambar fail 29 Mei 2015 menunjukkan Blatter dan Platini berjabat tangan selepas undian mengenai pemilihan presiden FIFA di Zurich. – AFP

Pembayaran dibuat pada 2011 bagi tugasan Platini yang diselesaikan sembilan tahun sebelumnya, kata pejabat peguam negara Switzerland, sambil menambah Platini digambarkan ‘di antara saksi dan orang tertuduh’.

Kedua-duanya menafikan sebarang salah laku.

Blatter dijadualkan meletak jawatan sebagai presiden FIFA selepas undian untuk memilih penggantinya pada kongres khas FIFA di Zurich pada 26 Februari.

Platini menghantar kertas pencalonannya untuk bertanding dalam pilihan raya itu sejurus sebelum penggantungannya tetapi bidaannya itu ditahan bergantung kepada keputusan kesnya.

Presiden dari Perancis itu mencabar penggantungannya dalam Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan juga dijangka akan merayu pendakwaan akhir bersama badan yang berpangkalan di Lausanne itu, yang mana adalah tribunal tertinggi sukan itu.

Penyiasat Etika pada Jumaat lalu berkata mereka telah menghantar laporan akhir mereka mengenai Blatter dan Platini dan meminta hukuman yang tidak dinyatakan ke atas kedua-duanya. Peguam-peguam Blatter mengeluarkan kenyataan pada Sabtu lalu yang berkata dia merasa yakin akan dibebaskan.

ARTIKEL YANG SAMA